Disebabkan Lukaku offside, Nasseb Ali kini raih 326 ribu pengikut di Tiktok

97

Nasseb Ali yang pada awalnya merupakan seorang peniaga atas talian menjadi tiktokers terkenal selepas membuat video perkongsian berkenaan situasi-situasi yang perlu ditangani sebagai seorang pengadil di atas padang.

Semasa pandemik Covid-19 pada tahun 2021 dahulu, masyarakat berkumpul di atas talian untuk berbincang dan berdebat terutama semasa kejohanan Euro 2020 berlangsung, terdapat insiden-insiden yang memeningkan penonton tentang keputusan pengadil perlawanan.


Nasseb yang juga seorang pengadil dan berkelulusan di bawah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada awalnya berniat untuk berkongsi tetapi tidak menyangka mendapat sambutan yang luar biasa dari kalangan pengguna aplikasi Tiktok.

“Satu perlawanan melibatkan pasukan Belgium di Euro iaitu jaringan yang dihasilkan oleh Lukaku dikatakan offside sebagai pengadil kita tahu ini tidak offside, jadi masa tu saya kongsikan satu video pencerahan dan tidak sangka ia mendapat sambutan yang luar biasa sekaligus saya teruskan untuk buat perkongsian dengan penonton di Tiktok,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Nasseb Liga Super Malaysia memerlukan Video Assistant Referee (VAR) untuk bergerak sejajar dengan arus permodenan bola sepak meskipun ia memakan kos yang tinggi dalam mengawal selia teknologi tersebut.

“Kos untuk VAR ini memang agak kasar dan tinggi, jika dalam sesebuah stadium itu VAR ini memerlukan 33 kamera khusus untuk membuat keputusan dan bukan itu sahaja para pengadil juga memerlukan bilik video untuk meletakkan pengadil tambahan bagi menilai video-video tersebut,”

“Memang kos dia agak tinggi tapi bukan mudah untuk sesebuah liga mendatangkan VAR, tetapi Malaysia perlu ada untuk kita bergerak selari dengan arus permodenan bola sepak dunia,”

Tahun ke tahun kita lihat bola sepak semakin canggih dan corak permainan juga semakin berubah, Nasseb memberitahu bahawa dalam komuniti pengadil peraturan juga ada kalanya berubah-rubah setiap tahun atas sebab untuk menambah baik kualiti dan mutu pengadilan dalam sesebuah perlawanan bola sepak.

“Ramai yang tidak faham, undang-undang bola sepak ini tahun ke tahun ada penambahbaikan yang dilakukan oleh badan induk Kesatuan Bola Sepak Dunia (FIFA) atau International Football Association Board (IFAB) untuk memastikan lebih meriah, lebih selamat dan lebih adil dalam sesebuah perlawanan bola sepak,”

Mengulas isu pengadil-pengadil sensasi negara misalnya pengadil ‘botak’, Nasseb menyatakan bahawa menjadi seorang pengadil tidak mudah disebabkan dengan

“Pengadil ini manusia yang mana mempunyai latar belakang, kecergasan, pemikaran dan penilaian yang berbeza jadi keputusan juga menjadi berbeza-beza, disebabkan itu sekiranya ada pengadil yang membuat kesalahan mereka dihukum kerana dengan adanya penilaian dibuat oleh penilai prestasi pengadil di luar perlawanan,”

Beliau yang turut berkongsi video-video tour ke stadium-stadium dalam negara dan luar negara akui Stadium Sultan Ismail dan Stadium Singapura antara yang terbaik di rantau Asia Tenggara selain mahu cuba menjejakkan kaki ke Sabah dan Kedah bagi perancangan masa depan.

“Banyak stadium yang saya dah pergi, boleh saya katakana antara dua stadium terbaik adalah stadium JDT dan stadium singapura selain perancangan seterusnya adalah untuk ke stadium Kedah Darul Aman serta Stadium Likas di Sabah.”