Walaupun mereka main di padang tiruan, tapi mereka sudah lama main bersama – Ong Kim Swee
Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee tetap berwaspada dengan ancaman dari Hougang United FC walaupun mereka adalah pasukan pilihan untuk perlawanan pertama Kumpulan H, Piala AFC 2023.
Sabah dikatakan mempunyai kelebihan kerana mereka sudah terbiasa bermain dengan padang semulajadi, manakala Hougang United pula sudah terbiasa bermain di padang tiruan.
“Dalam setiap perlawanan berbeza terutamanya di Piala AFC walaupun mereka bermain di Singapura dengan padang tiruan tapi saya percaya mereka sudah bersama agak lama.
Kita tidak boleh ambil mudah dan pada masa sama kita tahu apa yang kita perlu lakukan dan apa penting esok kita mendapatkan keputusan yang positif,”
katanya.
Menurut Kim Swee, beliau mahu memberi fokus kepada satu perlawanan ke satu perlawanan kerana ia penting untuk memastikan mereka tidak memikirkan terlalu jauh kerana masih mempunyai banyak perlawanan yang perlu dihadapi.
Dalam pada itu, pengendali berusia 52 tahun itu juga menyeru agak peminat The Rhinos untuk turun membanjiri Stadium Likas esok untuk memberi sokongan padu buat pasukan kesayangan.
“Ya kebelakangan ini saya melihat penyokong Sabah agak kehilangan sikit, namun pada malam esok saya percaya jumlah kehadiran penting untuk beri motivasi kepada pemain dan berharap mereka dapat datang beri sokongan.
Saya tahu ini bukan malam minggu, tapi saya percaya dengan adanya penyokong yang setia tentunya akan bantu pasukan.”
Beliau pada masa sama turut berkata pasukannya tidak akan turun dengan tekanan kerana pemain-pemain mempunyai pengalaman yang cukup luas sekaligus tiada masalah untuk mengawal tekanan yang akan dihadapi mereka.