Akademi AUFC sahut seruan FAM untuk lahirkan lebih ramai pemain berkualiti di peringat akar umbi – Mohd Fadzlisyam

304

Pengurus Afza United FC (AUFC) cawangan Terengganu, Mohd Fadzlisyam Roselan menyifatkan bahawa akademi itu menyahut seruan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk melahirkan lebih ramai pemain berkualiti di peringkat akar umbi.

Katanya, cawangan Terengganu yang ditubuhkan pada 1 Ogos 2023  akan merekrut lebih ramai pemain menjelang hujung tahun ini dengan menekankan aspek yang lebih progresif.


“Kami sedang mengorak langkah untuk menyertai kejohanan domestik menjelang akhir tahun ini sebelum kami fokus agenda untuk menarik lebih ramai lagi pelatih untuk jendela 2024.

Kami mahu tampilkan pemain lebih berkualiti sesuai dengan tahap dan keperluan semasa di peringkat akar umbi khususnya untuk menyahut seruan FAM melahirkan lebih ramai pemain di peringkat akar umbi,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Katanya, akademi itu mempunya tiga peringkat kategori umur iaitu bawah 8, bawah 10 dan bawah 12.

Tambahnya, pelatih-pelatih akan dipantau perkembangan mereka dan akan dibawa ke kejohanan yang sesuai dengan tahap mereka sehinggalah ke peringkat tertinggi seperti kejohanan Yakult dan Milo, serta kejohanan Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD), Majlis Sukan Sekolah Negeri (MSSN) dan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).

“Semua pelatih akan melalui tiga fasa ini (bawah 8, bawah 10 dan bawah 12) dan kita akan lihat prospek yang sesuai dengan tahap mereka untuk dilorongkan ke kejohanan tertentu.

Mereka perlu ada asas yang kukuh dan cukup sebelum kami melepaskan mereka ke peringkat yang lebih tinggi.”

Beliau juga berkata, pelatih yang memenuhi kriteria dan nilai tertentu akan disyorkan untuk ke program bola sepak yang lebih tinggi seperti program di bawah Akademi Mokhtar Dahari (AMD).