Akademi AUFC beri peluang kepada semua pelatih, ajar dari ‘zero to hero’ – Wan Jazmi Syahman
Jurulatih B-10 dan B-12 akademi bola sepak Afza United FC (AUFC) cawangan Terengganu, Wan Jazmi Syahman Wan Johari menyifatkan bahawa akademi itu memberi peluang kepada semua kanak-kanak sama ada yang mempunyai asas bola sepak atau pun tidak.
Katanya, berbanding kebanyakan akademi yang membuat sesi pemilihan, AUFC pula menggunakan konsep ‘zero to hero’, di mana mereka melatih pemain yang tiada asas bola sepak sehingga pandai bermain.
“Kami fokus kepada semua pelatih tidak kiralah dah pandai atau pun tidak, ada ramai pelatih kita yang tiada asas bola sepak jadi kita latih daripada kosong sehinggalah di kenal semua.
Ramai yang masuk akademi ini tidak berpeluang untuk sertai akademi lain di luar, jadi kami sasarkan pelatih yang kurang mampu,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Beliau berharap satu hari nanti pelatih-pelatih dari akademi cawangan itu dapat mengikut pelatih di cawangan Kuala Lumpur yang berjaya menyertai dan memenangi kejohanan di dalam dan luar negara.
Sementara itu, jurulatih B-10 AUFC cawangan Terengganu, Abu Seman Jusoh berkata, bagi pelatih yang menunjukkan prestasi yang baik, mereka akan diberi peluang untuk terpilih menjalani program Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).
“Jika prestasi mereka baik, mereka akan diberi peluang untuk terpilih ke NFDP, kita akan buka peluang itu kepada mereka.
Ada juga pelatih kita yang telah berjaya mengikuti program Pusat Latihan Daerah (PLD) di bawah NFDP.”
Katanya, mereka menerapkan permainan bola sepak moden kepada pelatih-pelatih di AUFC sesuai dengan keperluan semasa.