Marko Kraljevic akan kekalkan corak permainan sama walaupun bermain di padang semulajadi
Ketua jurulatih Hougang United FC, Marko Kraljevic memberitahu beliau akan mengekalkan taktikal dan corak permainan mereka walaupun mengakui bakal berdepan kesukaran apabila terpaksa bermain di padang semulajadi.
Ini kerana menurut Kraljevic, pasukannya sudah terbiasa bermain di padang tiruan dalam saingan Singapore Premier League (SPL) dan ini pastinya akan memberikan kelebihan buat pasukan tuan rumah.
“Sebaik sahaja keputusan undian keluar dan Sabah FC berada dalam kumpulan kami, kami mula mengikuti rapat perkembangan Sabah dari semasa ke semasa dan ia akan menjadi perlawanan sukar untuk kami terutamanya apabila kami terpaksa bermain di padang semulajadi.
Ini kerana kami sudah terbiasa bermain di padang tiruan dalam saingan liga domestik dan ini akan menjadi kekurangan terbesar, namun kami tetap teruja untuk turun beraksi.
Kami juga akan mengekalkan taktikal dan corak permainan sama pada perlawanan esok,”
katanya.
Beliau turut berkata perkara sama akan turut terjadi kepada pasukan lawan apabila mereka turun beraksi di Stadium Jalan Besar nanti.
Dalam pada itu, beliau yang pernah beraksi di saingan Liga Malaysia pada era 90an dan juga pernah menjadi ketua jurulatih untuk pasukan Kelantan FC pada 2019 mengakui teruja apabila dapat kembali ke Malaysia untuk perlawanan bola sepak.
“Saya sangat gembira dapat kembali ke Malaysia untuk perlawanan kelab Malaysia dan Singapura kerana ia mengingatkan saya pada perseteruan bola sepak di antara kedua-dua negara ini.”
Sementara itu, ketua pasukan Zulfahmi Arifin berkata beliau dan rakan sepasukan cukup teruja apabila dapat turun beraksi di Malaysia kerana dapat merasai suasana penyokong yang cukup luar biasa.
“Kita semua tahu perseteruan bola sepak di antara Malaysia dan Singapura. Kami sebagai pemain bola sepak sangat teruja apabila bermain away di Malaysia kerana kehadiran ribuan penyokong tuan rumah.
Kami tidak dapat merasai suasana seperti ini di Singapura, jadi bagi saya secara peribadi saya akan ingat momen ini.”