Kami perlu bersedia dari segi mental untuk berdepan ribuan penyokong lawan – Nazrul Nazari

624

Pemain pertahanan Hougang United FC, Muhammad Nazrul Ahmad Nazari memberitahu beliau dan rakan sepasukan perlu membuat persedian dari segi mental apabila bakal turun beraksi di hadapan ribuan penyokong Sabah FC esok.

“Apa yang kami jangka adalah esok stadium akan dibanjiri oleh ribuan penyokong dan ini akan memberi tekanan pada kami jadi kami perlu mempersiap mental dan kekal fokus sebagai satu pasukan.

Kami di pasukan akan sentiasa memotivasi antara satu sama lain dan sentiasa bersama sebagai satu pasukan bukan sahaja di dalam padang tetapi juga di luar padang,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Hougang United akan turun beraksi dalam saingan peringkat kumpulan Piala AFC 2023 menentang Sabah di Stadium Likas.


Nazrul Nazari turut mengakui terdapat jurang besar di antara bola sepak di Malaysia dan Singapura yang mana beliau mengakui sukar untuk pemain di sana untuk merapatkan jurang dek kurang pendedahan.

“Di Singapura kita susah kerana tidak banyak kelab dan pendedahan berbanding  kelab di Malaysia.

Bagi kami kalau semua kelab di Singapura dapat bermain di AFC Champions League (ACL) dan Piala AFC ia merupakan satu pendedahan yang cukup baik buat kami.”

Dalam pada itu, beliau yang pernah menyarung jersi LionsXII pernah beraksi dalam saingan Liga Malaysia mengakui rindu dengan suasana bola sepak di sana.

Antara yang dirindui beraksi di Liga Malaysia adalah penyokong dan juga perjalanan dari satu negeri ke negeri lain untuk perlawanan.

Nazrul merupakan antara pemain paling senior dalam skuad The Cheetahs yang mana beliau berada dalam senarai Top 10 pemain yang mempunyai penampilan terbanyak bersama kelab itu.

Berdasarkan rekod, beliau kini sudah membuat sebanyak 140 penampilan dan hanya lima perlawanan lagi untuk merampas takhta tersebut dari pemain lagenda kelab tersebut iaitu Lau Meng Meng.