Konflik antara PSM & ASTAF tak jejaskan persiapan skuad sepak takraw

360

Tinggal beberapa bulan lagi sebelum kontinjen Malaysia akan berlepas ke Vietnam dan China untuk dua kejohanan besar, Sukan SEA dan Sukan Asia, yang akan berlangsung pada Mei dan September.

Apa yang merisaukan peminat terutamanya peminat sukan sepak takraw adalah bagaimana dengan persiapan kem negera ketika ini berikutan konflik antara Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dengan Persekutan Sepak Takraw Asia (ASTAF).


Ramai yang tertanya-tanya bagaimanakah persiapan dan latihan para pemain sepak takraw negara ketika ini. Mampukah mereka mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada edisi Sukan Asia 2022 kali ini?

Kira-kira empat tahun lalu, skuad sepak takraw negara telah menamatkan kemarau 24 tahun tanpa pingat emas selepas pasukan regu negara berjaya menumpaskan pasukan Indonesia dalam pertarungan akhir yang cukup dramatik.

Sumber foto: STL

Berbalik kepada persiapan negara, PSM tidak menjadikan konflik antara mereka dengan ASTAF sebagai penghalang untuk mereka membuat persiapan rapi.

Dengan Liga Sepak Takraw (STL) musim ini sudah pun bermula, PSM sudah mengenal pasti beberapa pemain baru untuk diserapkan ke kem latihan skuad kebangsaan.

Seramai sembilan pemain telah dipilih dan mereka akan menyertai pemain senior bagi membentuk 21 pemain dalam pasukan negara sebagai persiapan.

Pemain yang terpilih adalah Redwan Hakim (KL Thunder), Eqbal Shamsudin (Kelantan Warriors), Nik Muhammad Afiq Mazlan (Kelantan Warriors), Zulhusni Basri (Penang Black Panthers), Zarif Marican Ibrahim Marican (Penang Black Panthers), Faisal Fuad (Penang Black Panthers), Haziq Hairul Nizam (Selangor Pistons), Zuhri Zain (Selangor Pistons) dan Asyraab Abd Hadi (Perak Bison).

Sumber foto: STL

Dalam pada itu, jurulatih skuad negara, Khairudin Adenan dalam memberitahu daripada 21 pemain yang dipilih, ia akan dikecilkan lagi kepada 12 pemain terbaik sahaja untuk dibawa ke kejohanan itu.

Sejak berjaya meraih pingat emas kira-kira empat tahun lalu, Malaysia  kembali menjadi gergasi dalam dunia sepak takraw sebaris Thailand dan Indonesia.

STL yang mula diperkenalkan pada tahun 2014 telah menyaksikan sukan sepak takraw menjadi semakin popular dan menarik peminat sukan lain untuk turut menonton aksi-aksi hebat pasukan yang bertanding.

Sambutan hangat daripada orang ramai termasuk banyak pasukan yang menyertai liga sepak takraw, pada tahun 2016 ia dibahagikan kepada dua divisyen iaitu STL Premier dan divisyen kedua STL Division 1.

Tidak dapat dinafikan sejak kewujudan STL, PSM kini mempunyai lebih banyak pilihan pemain berdasarkan prestasi mereka ketika beraksi di STL.

Terdahulu, kejohanan pertama sepak takraw berlangsung pada 1962 menerusi Piala Emas Khir Johari yang berlangsung di Stadium Negara, Kuala Lumpur. Hasil usaha gigih PSM ketika itu juga telah menyaksikan sukan yang sinonim di Asia Tenggara mula dipertandingkan di Sukan SEAP 1965 yang mana Malaysia menjadi tuan rumah.

Ia menjadi titik perubahan nama sepak raga jaring kepada sepak takraw dan juga pingat emas pertama sukan Sukan SEAP berjaya dirangkul Malaysia.

Malaysia menjadi kuasa besar dan mendominasi sebagai pemenang pingat emas. Bagaimanapun, prestasi sepak takraw negara merudum dari 1971 hingga 1983 apabila Malaysia gagal meraih pingat emas.

Sumber foto: STL

Skuad negara bagaimanapun berjaya meraih pingat emas pada Sukan SEA Manila 1991, bagaimanapun selepas itu Thailand merampas takhta sebagai kuasa besar sepak takraw antarabangsa.

Untuk rekod, skuad negara juga pernah dimalukan oleh pasukan Korea ketika Kejohanan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF).

Diharap skuad negara dapat mengulangi kejayaan pada tahun 2018 pada Sukan SEA dan Sukan Asia pada tahun ini bagi mengukuhkan lagi status Malaysia sebagai kuasa besar dalam dunia sepak takraw.