Banyak lagi kita perlu perbaiki untuk perlawanan akan datang – Ong Kim Swee

213

Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee memberitahu bahawa pasukannya masih banyak lagi perlu diperbaiki biarpun berjaya menang 3-1 menentang Hougang United FC dalam perlawanan pertama Kumpulan H Piala AFC 2023 malam tadi.

Menurut Kim Swee, antara yang perlu diperbaiki adalah penyudah apabila mereka gagal untuk menyempurnakan peluang-peluang yang terhidang.


“Permulaan yang positif dimana kita tahu dengan keadaan cuaca dan padang yang tidak begitu baik kita mampu dapat keputusan yang kita inginkan.

Tapi banyak lagi kita perlu perbaiki terutamanya dari segi penyudah dan ini penting jika kita ingin melangkah ke peringkat seterusnya,”

katanya.

Tambahnya lagi, dengan keadaan padang yang becak dan licin ia sedikit sebanyak telah menjejaskan perancangan taktikal.

Dalam pada itu, beliau turut memuji komitmen pemain-pemainnya di atas padang apabila tetap mempamerkan corak permainan berintensiti tinggi walaupun sedang mendahului.

“Kita tak boleh mengambil mudah walaupun mendahului. Penting untuk kita kekal disiplin dan pada malam ini pemain menunjukkan tahap disiplin yang tinggi walaupun kita mendahului dan kita gagal menyudahkan banyak peluang yang kita cipta, tapi pemain tetap cuba untuk menjaringkan gol lagi.

Namun saya percaya kita mampu untuk memperbaiki perkara itu nanti.”

Sementara itu, Kim Swee turut mengucapkan terima kasih kepada lebih 7,000 penyokong The Rhinos yang sanggup turun stadium untuk memberi sokongan pada pasukan kesayangan walaupun hujan lebih sepanjang tempoh permainan.

“Mereka merupakan penyokong yang penting bagi kita apabila kita turun beraksi di Likas. Ia akan memberi motivasi kepada pemain yang diturunkan.”