Marko Kraljevic akui pemainnya tidak mampu bersaing dengan fizikal pemain Sabah FC
Ketua jurulatih Hougang United FC, Marko Kraljevic tetap berpuas hati dengan aksi pemain-pemainnya walaupun mereka tewas 3-1 kepada Sabah FC dalam perlawanan pertama Kumpulan H Piala Asia 2023 yang berlangsung di Stadium Likas malam tadi.
Menurut Kraljevic, sejak awal lagi beliau sudah dapat menjangkakan bahawa pasukan lawan lebih baik dan pemainnya tidak mampu bersaing dengan segi fizikal dengan pemain lawan.
“Kami cuba buat ‘build up’ permainan tapi pemain sentiasa diberi tekanan oleh pemain lawan dan kami sentiasa satu langkah kebelakang.
Pada separuh masa kedua kami berjaya jaringkan gol dan sekaligus memberi harapan untuk kami kembali dalam permainan tapi agak mengecewakan apabila kami bolos gol ketiga dalam tempoh yang cukup singkat menyebabkan permainan sudah ‘game over’ bagi kami,”
katanya.
Dalam pada itu, beliau turut tidak menyalahkan keadaan padang yang becak dan licin kerana ia berlaku dek hujan lebat yang turun sepanjang tempoh permainan.
“Kami tidak boleh buat apa-apa dengan cuaca. Pemain tidak dapat bermain dengan baik kerana tidak mampu bersaing dengan fizikal pemain lawan.
Tapi banyak perkara positif yang boleh diambil dalam perlawanan ini yang mana kami jadikan ia sebagai persiapan sebelum kami mengharungi kejohanan Piala Singapura nanti.”