No complaint! Kami yang lambat sesuaikan diri dengan keadaan padang – Zulfahmi Arifin
Ketua pasukan Hougang United FC, Zulfahmi Arifin berkata beliau tiada rungutan mengenai kekalahan pasukannya Sabah FC malam tadi kerana ia berpunca daripada beliau dan rakan sepasukannya yang gagal untuk sesuaikan diri cepat dengan keadaan padang.
Menurut Zulfahmi, inilah bola sepak dan banyak pengajaran yang boleh mereka ambil dari perlawanan malam tadi.
“Tiada rungutan daripada saya kerana kami terlalu lambat untuk sesuaikan diri dengan keadaan padang kerana inilah bola sepak.
Banyak pengajaran yang boleh diambil dari perlawanan tadi dan kita akan balik untuk buat analisis dan perbaiki segala kelemahan dan buat persiapan untuk kejohanan Piala Singapura pula,”
katanya.
Beliau pada masa sama turut memberi pujian kepada rakan sepasukannya yang telah memberikan komitmen sepanjang perlawanan, namun terpaksa akur dengan kehebatan pasukan lawan.
“Memang kami tidak berpuas hati dengan keputusan malam tadi dan kami perlu bangkit semula untuk perlawanan akan datang. Perjalanan masih jauh kerana kami masih mempunyai baki lima perlawanan.”
Dalam pada itu, Zulfahmi juga mengakui teruja dengan kehadiran lebih 7,000 penyokong lawan yang membanjiri stadium kerana ia memberi pengalaman yang cukup berharga buat dirinya dan rakan sepasukan.
Ini kerana beliau berkata, di Singapura mereka tidak dapat merasai kemeriahan penyokong dalam saingan Singapore Premier League (SPL).
“Saya memang suka ada banyak penyokong. Saya beritahu rakan sepasukan di bilik persalinan kata, ‘kita jarang dapat suasana ini seperti di Singapura, apa yang mereka pekik, maki atau sokong kita tak dengar.’ Jadi ambil ia sebagai satu benda positif.”