Tiada lagi besi penghalang di tempat duduk penonton SNBJ, akhirnya dapat saksikan Harimau Malaya tanpa gangguan
Umum mengetahui bahawa Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sedang melalui proses penukaran rumput di padangnya daripada cow grass kepada Zeon Zoysia.
Selain daripada penukaran rumput, kerja-kerja penambahbaikan lain juga sedang diadakan di kawasan stadium itu.
Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) baru-baru ini memuat naik gambar yang menunjukkan bahawa kerja-kerja pemotongan besi penghalang di tempat duduk penonton SNBJ sedang dijalankan.
Sejak sekian lama, sudah ramai pihak yang bersuara tentang besi penghadang tersebut yang mengganggu penglihatan tidak kiralah sama ada ketika perlawanan bola sepak mahu pun konsert.
Justeru, tindakan PSM dalam memotong besi itu dilihat amat wajar dan bakal memberi pengalaman yang lebih baik buat penyokong apabila menonton perlawanan bola sepak nanti.
Walaupun pada mulanya ia dibina kerana keselamatan, namun penyokong masa kini sebenarnya sudah semakin matang dan bertamadun.
Kes-kes pergaduhan dalam arena bola sepak negara sejak kebelakangan ini juga tidak terlalu banyak dan teruk jika dibandingkan dengan masa dahulu.
Tambahan pula, kehadiran pihak berkuasa dilihat lebih praktikal dalam menjaga keselamatan penyokong berbanding pagar tersebut.
Pastinya kini penyokong sudah tidak sabar untuk melihat Harimau Malaya beraksi di SNBJ yang sudah ditambah baik, dan dengan tiada lagi penghadang yang boleh mengganggu penglihatan, diharapkan sokongan yang diberikan kepada pasukan negara akan lebih hebat lagi.
Orang ramai dijangka dapat menyaksikan wajah baharu SNBJ Oktober ini pada kejohanan Pestabola Merdeka 2023 yang akan menampilkan pasukan Malaysia, India, Taijikistan dan Palestin.