Piala Dunia di Asia Tenggara? PM Thailand jumpa Presiden FIFA nyatakan kesediaan ASEAN anjurkan pada 2034

342

Ketika Mesyuarat Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang ke-78 yang sedang diadakan ketika ini, Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin sempat bertemu dengan Presiden FIFA, Gianni Infantino bagi menyuarakan kesediaan negara-negara ASEAN untuk menganjurkan Piala Dunia 2034.

Katanya, bermula sekarang negara-negara ASEAN harus meningkatkan tahap bola sepak dan kesediaan untuk menganjurkan kejohanan itu.


Sebelum ini, terdapat beberapa negara ASEAN yang sudah menyuarakan minat untuk turut serta dalam bidaan bersama itu seperti Thailand, Vietnam, Singapura, Indonesia dan Malaysia sendiri.

Ketika menjadi Ahli Jawatankuasa FIFA, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut menyatakan minat Malaysia.

Bidaan bersama untuk menganjurkan acara bola sepak bukanlah perkara yang baru buat negara ASEAN kerana pada tahun 2007, empat negara iaitu Malaysia, Thailand, Indonesia dan Vietnam pernah bersama-sama menganjurkan Piala Asia.

Justeru, pengalaman lalu boleh digunakan sekali lagi untuk menghantar bidaan bagi menganjurkan Piala Dunia.

Selain daripada negara ASEAN, beberapa negara lain juga turut menyatakan minat yang sama contohnya Arab Saudi serta Australia dan New Zealand.

Dari segi infrastruktur, boleh dikatakan bahawa negara ASEAN masih ketinggalan berbanding negara-negara lain dan harus membuat persedian daripada sekarang lagi jika benar-benar mahu menghantar bidaan.

Tetapi ia tidak mustahil kerana negara-negara ASEAN pernah saja menganjurkan kejohanan bola sepak atau sukan bertaraf dunia dengan jayanya.

Ia mampu menjadi satu sejarah yang besar dan membuka lembaran baharu dalam bola sepak di Asia Tenggara jika perkara itu berlaku.