Kami mewajibkan pemain untuk menutup aurat dan menjaga ikhtilat sejak kecil – Nur Aiman Omran

349

Soccer City FA memulakan langkah mereka sebagai sebuah akademi bola sepak peringkat akar umbi yang mengetengahkan unsur islamik apabila menegaskan para pemain untuk menutup aurat dan menjaga ikhtilat.

Nur Aiman Omran yang merupakan pengasas akademi Soccer City FA ini memaklumkan mereka cuba membawa satu kelainan dalam melatih anak-anak muda untuk menutup aurat dan menjaga ikhtilat mereka baik di atas padang mahupun dalam realiti kehidupan seharian mereka.


“Perbezaan akademi ini dengan yang lain adalah ikhtiar kami dalam mengajar atau mewajibkan pemain-pemain yang menyertai akademi ini untuk menutup aurat dan menjaga ikhtilat baik di dalam permainan mahupun kehidupan seharian,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Selain itu juga, Aiman memberitahu bahawa penubuhan akademi ini adalah salah satu cara untuk mencabar dirinya sendiri dalam menyahut seruan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang ingin jurulatih-jurulatih bertauliah berbakti kepada bola sepak akar umbi di tempat masing-masing.

“Jadi dengan adanya saya sebagai jurulatih yang bertauliah daripada FAM dan saya merupakan pemegang sijil kejurulatihan C sekaligus ia mencabar saya untuk membuka satu akademi dan membantu penduduk sekitar,”

Aiman yang tinggal di kawasan sekitar SMK Cheras perdana menganggap sekolah ini merupakan lokasi strategik untuk dijadikan sebagai tempat latihan mereka memandangkan berdekatan dengan jalan utama dan memiliki kemudahan-kemudahan asas di dalam sekolah yang boleh digunakan.

“SMK Cheras Perdana ini tempatnya strategik kerana bersebelahan dengan jalan utama dan ia mudah untuk menarik minat anak-anak muda ini untuk sertai selain sebab saya memilih sekolah juga kerana daripada segi kemudahan misalnya tandas lebih dekat dan ibu bapa tidak risau untuk menghantar anak-anak mereka kerana sekolah ini tempat yang selamat,”

Meskipun masih baru dibuka, Aiman sebagai pengasas akademi tersebut sudah mula merancang pelbagai pelan untuk meningkatkan lagi produktiviti akademi mereka antaranya bakal melantik jurulatih-jurulatih wanita dan sertai mereka dalam usaha menubuhkan pasukan wanita.

“Saya ada perancangan untuk memanggil rakan-rakan perempuan yang mempunyai lesen kejurulatihan pada masa hadapan bagi membentuk satu pasukan perempuan dengan inisiatif yang sama iaitu untuk melatih mereka bermain sambal menutup aurat,”

Memulakan akademi dengan dana sendiri tanpa bantuan sesiapa melainkan pihak sekolah, Aiman mahu melihat sejauh mana mereka boleh bertahan dan beliau sendiri akan mencari cara untuk mencari dana sekiranya mereka semakin berkembang dan dikenali ramai.

Sebanyak RM 200 yuran penyertaan, Soccer City FA memastikan ibu bapa tidak perlu risau dengan peralatan bola sepak anak-anak dan mereka hanya perlu menyediakan kasut bola sahaja.

“Dengan hanya membayar yuran penyertaan sebanyak RM 250 para peserta akan kami berikan jersi latihan dan perlawanan iaitu sebanyak dua helai, seluar, stoking, shin pad dan seluar,”

“Ibu bapa hanya perlu sediakan kasut bola sahaja untuk anak-anak mereka bermain bola bersama kami di akademi ini,”

Aiman turut berharap apa yang diusahakan ini dapat memberikan impak dalam kehidupan para peserta selain dapat melahirkan pemain-pemain yang mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi pada masa akan datang.