Cikgu memainkan peranan penting untuk bimbing murid kejar minat mereka – Kwong Kar Jun
Pengasas Kawan Athletics, Kwong Kar Jun akui peranan seorang guru sangat penting dalam pembangunan atlet sejak di bangku sekolah lagi.
Kar Jun yang juga merupakan bekas atlet larian 400 Meter Malaysia menyifatkan guru di sekolah seharusnya menjadi insan yang bertungkus lumus untuk merealisasikan impian serta minat anak-anak murid mereka untuk menyertai bidang sukan yang diminati.
“Cikgu memainkan peranan yang besar di sekolah kerana jika pelajar mempunyai minat dalam sukan olahraga tapi tiada latihan di sekolah ia akan memberikan kesukaran tetapi ada inisiatif yang boleh dilakukan oleh cikgu-cikgu iaitu dengan memanggil jurulatih luar untuk membuat bengkel bagi memberikan pengetahuan asas buat murid dan cikgu,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Kawan Athletics ditubuhkan atas dasar memberi peluang kepada mereka di luar sana terutama pelajar-pelajar yang kurang mendapat latihan olahraga di peringkat sekolah akibat kekangan jurulatih dan juga fasiliti.
Menurut Kar Jun, mereka juga memainkan peranan untuk membimbing bakat-bakat muda di sekitar Lembah Klang untuk menjadi atlet daripada peringkat sekolah sehigga dapat menyarung jersi kebangsaan.
“Kita mahu memberi peluang kepada semua orang terutama pelajar-pelajar yang tiada masa untuk berlatih dan tidak memiliki fasiliti sukan atau jurulatih di sekolah mereka,”
“Kawan Athletics adalah untuk membimbing bakat-bakat muda di sekitar Lembah Klang dari bukan pelari kepada wakil sekolah dan peringkat-peringkat seterusnya sehingga mereka boleh menjadi atlet kebangsaan,”
Beliau terdetik untuk membuka Kawan Athletics ini adalah disebabkan dorongan dan pengaruh negara-negara luar seperti Amerika Syarikat, Thailand dan Singapura yang sangat menyokong penubuhan kelab-kelab olahraga di negara mereka.
“Di Malaysia kita lihat tidak banyak kelab-kelab olahraga yang ditubuhkan tidak seperti negara lain seperti Amerika Syarikat, Singapura dan Thailand yang menyokong penuh penubuhan kelab-kelab sebegini, jadi mereka boleh buat kenapa kita tidak boleh buat?
“Itu yang menyebabkan saya mula tubuhkan Kawan Athletics ini,”
Kelab olahraga yang telah ditubuhkan sejak tahun 2018 itu juga bukan sahaja terbuka buat kanak-kanak malah turut memberi peluang kepada semua peringkat umur mengikut program latihan yang telah disediakan.
“Umur paling muda adalah tujuh tahun sehingga 45 tahun kerana kami di Kawan Atheletics menyediakan pelbagai program antaranya Pembangunan, prestasi, pendidikan khas dan juga master bagi golongan ibu bapa yang berumur 35 tahun ke atas.”