Suhaimi selayaknya berada dalam skuad kebangsaan – Tomislav Steinbruckner
Jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner memuji prestasi cemerlang penjaga golnya, Suhaimi Husin dan beranggapan bahawa beliau selayaknya berada di dalam skuad kebangsaan.
Kecemerlangan Suhaimi Husin sememangnya diakui oleh berjaya menyekat kemaraan skuad gergasi merah daripada melangkah ke pusingan separuh akhir Piala Malaysia.
“Suhaimi jika anda semua lihat dalam aksi sebelum ini menentang Mariners, beliau selamatkan semua serangan pasukan lawan dan saya rasa beliau antara penjaga gol terbaik buat masa ini serta Suhaimi selayaknya berada dalam skuad kebangsaan,”
katanya.
Tomislav turut memberi bayangan bakal merehatkan beberapa tonggak utama selepas mengharungi beberapa minggu yang meletihkan akibat daripada perlawanan dalam saingan Liga Malaysia , AFC Cup serta Piala Malaysia.
“Memandangkan kami berada di tangga keenam liga yang mana agak susah untuk naik kedudukan jadi saya berhasrat untuk merehatkan beberapa pemain seperti Shakir, Nik Sharif dan juga Sony Norde yang mengalami sedikit kecederaan,”
Menurut jurulatih asal Croatia itu, Terengganu FC kini berada di laluan yang tepat apabila lebih 10 perlawanan tanpa kekalahan selepas mereka tumpas menentang Johor Darul Ta’zim beberapa bulan lalu.
“Semua perlawanan adalah penting disebabkan kami sudah lama tidak kalah sejak bulan Jun yang lalu selepas kalah kepada JDT, keputusan kami terima dalam 10 ke 11 perlawanan adalah menang dan seri,”