Jangan ingat bila kedudukan kedua liga lawan kedudukan keenam pasti boleh menang, tidak sama sekali – Tan Cheng Hoe
Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe mahu pemain-pemain sedar dan ambil perlawanan hari ini sebagai pengajaran bahawa tidak semua pasukan di kedudukan bawah liga senang untuk ditewaskan apabila bermain dalam saingan piala.
Gergasi merah gagal melangkah ke pusingan separuh akhir Piala Malaysia selepas ditumbangkan Terengganu FC di gelanggang sendiri dengan skor agregat 1-3.
TCH mengingatkan anak-anak buahnya supaya melihat kekalahan ini sebagai satu pengajaran agar tidak memandang rendah terhadap pasukan lain yang berada di kedudukan bawah Selangor FC.
“Perkara ini pemain perlu ambil pengajaran bahawa tidak semestinya anda berada di posisi kedua liga dan lawan berada di kedudukan keenam pasti kita boleh menang, tidak sama sekali kerana dalam bola sepak apabila memasuki pusingan kalah mati segala peluang yang terhidang perlu disempurnakan,”
katanya.
Selangor yang ketinggalan dalam babak pertama membawa taktikal yang memukau mata penonton apabila meletakkan Safuwan Baharudin di bahagian serangan menggantikan Richmond Boakye yang kurang memberi impak dalam perlawanan tersebut.
Menurut TCH sendiri kehadiran Safuwan di barisan hadapan dapat memberikan saingan kepada bahagian pertahanan Terengganu FC bagi memudahkan mereka untuk membuat hantaran-hantaran jauh.
“Itu merupakan taktikal yang perlu kami gunakan kerana dalam pengejaran mata 3-0 memang sesuatu yang sukar cuma kami cuba main dengan taktikal hantaran jauh dan peroleh gol pada minit akhir perlawanan,”
“Sekiranya kita dapat gol sedikit awal di babak kedua semestinya kita dapat mengubah keadaan,”
Selangor bakal bertemu Terengganu sekali lagi dalam saingan Liga Super Malaysia beberapa hari dari sekarang yang akan dimainkan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu.