Modul PS Ball Mastery turut diguna pakai oleh kelab profesional di Vietnam

913

Mungkin ramai yang tidak mengenali dengan Pak Syed FC (PS) yang merupakan sebuah akademi yang memberi fokus kepada penguasaan bola seseorang pemain di mana beliau menggunakan modul yang telah disusun.

Dikenali sebagai PS Ball Mastery, modul-modul yang diperkenalkan oleh Syed Adnan Bin Syed Othman atau lebih mesra dengan panggilan Pak Syed ini sudah diterapkan di luar antaranya Vietnam.


Malah, modulnya turut menyaksikan banyak pemain-pemain muda di sana berjaya diserap ke dalam akademi pembangunan bola sepak Vietnam.

“Saya pernah pergi ke Vietnam untuk berkongsi modul-modul saya bersama seorang jurulatih di mana saya difahamkan banyak anak didiknya berjaya diserap dalam PVF Football Academy yang mana ia sebuah akademi pembangunan bola sepak Vietnam.

Jadi beliau jemput saya ke sana untuk mengajar jurulatih-jurulatih beliau. Walaupun sukar untuk berkomunikasi, namun modul saya menggunakan video menjadikan perkongsian modul saya mudah dan senang kerana mereka belajar menerusi visual,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Untuk pengetahuan, PVF adalah sebuah akademi yang diiktiraf oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebagai akademi bertaraf tiga bintang di bawah Skim AFC Elite Youth.

Dalam pada itu, Pak Syed turut mendedahkan bahawa salah sebuah kelab profesional yang beraksi di V. League 2 turut menggunakan modul beliau dalam latihan mereka.

“Alhamdulillah, anda boleh lihat kelab CLB Bong Da Ba Rịa Vung Tau, apa yang mereka buat ketika ini, itulah modul yang saya terapkan kepada mereka sebelum ini.”

Tambahnya, beliau juga berkata akan terbang ke Vietnam lagi untuk mengajar modul peringkat seterusnya dalam masa terdekat ini.

Sementara itu, beliau turut mendedahkan bahawa sahaja mendapat tawaran daripada rakannya iaitu Raja Isa yang berpengkalan di Bangladesh untuk bersama di negara itu.

“Paling besar sekali dapat tawaran daripada Coach Raja Isa yang mahu bawa saya ke Bangladesh untuk buat pemain senior dan pemain muda kebangsaan Bangladesh.

Coach Raja Isa percaya dengan modul yang saya ajar, jadi saya akan ke sana.”