Eksklusif: Kim Hak-bum sah tidak akan kendalikan skuad Harimau Malaya
Baru-baru ini Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dilaporkan akan memilih ketua jurulatih dari Korea Selatan sebagai pengendali baru skuad Malaysia dan antara nama yang menjadi sebutan adalah Kim Hak-bum.
Bagaimanapun Harimau Malaya difahamkan bahawa FAM tidak akan melantik bekas ketua jurulatih skuad B-23 Korea Selatan itu.
Menurut satu sumber, walaupun Hak-bum mempunyai rekod yang cemerlang dan seorang jurulatih mengutamakan disiplin tinggi tetapi pihak FAM ambil keputusan untuk tidak melantiknya.
Tambahnya lagi, FAM akan membuat pengumuman ketua jurulatih baru Harimau Malaya pada Jumaat ini.
Pengumuman ketua jurulatih baru negara itu akan dibuat pada hari yang sama di mana Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin akan menjawab kesemua isu termasuk kritikan kegagalan skuad kendalian Tan Cheng Hoe pada saingan Piala AFF di Singapura baru-baru ini.
Selain Hak-bum, tiga lagi calon dari Korea Selatan turut berada dalam radar FAM antaranya Kim Pan-gon, Park Jin-seop dan Kim Byung-soo.
Untuk rekod Hak-bum mengendalikan skuad B-23 Korea selama tiga tahun dan telah berjaya membantu pasukan memenangi pingat emas Sukan Asia 2018.
Jika dilihat dari empat nama jurulatih ini, hanya Hak-bum dan Pan-gon dilihat layak menjadi ketua jurulatih baru negara berikutan masing-masing mempunyai pengalaman mengendalikan skuad kebangsaan selain pernah menang beberapa kejuaraan.
Memandangkan FAM sudah menolak Hak-bum, adakah Pan-gon akan jadi pilihan FAM? Sama-sama kita tunggu Jumaat ini.