Tak cukup bajet mahu labur kemudahan fisio, memang susah untuk jadi pasukan terbaik – Shamimi Alia Shuhaimi
Ahli fisioterapi sukan, Shamimi Alia Shuhaimi akui bajet dalam sesebuah pasukan amat penting untuk mendapatkan pengurusan fisioterapi yang baik seperti yang dimiliki oleh beberapa pasukan gergasi Liga Super Malaysia.
Ahli fisioterapi sememangnya individu yang penting dalam sesebuah pasukan bola sepak profesional masa kini dalam usaha untuk memastikan para pemain sentiasa bebas kecederaan dan cergas bagi memberikan aksi cemerlang di atas padang.
“Pergilah kemana-mana pasukan sekalipun jika tidak mempunyai bajet yang mencukupi untuk labur dalam fisioterapi pasukan tersebut memang susah untuk menjadi pasukan yang baik,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Tidak ramai yang ketahui bahawa fisioterapi bukan sahaja bekerja di atas padang sewaktu perlawanan berlangsung malah mereka perlu bersedia sebelum dan selepas pemain beraksi bagi memastikan tahap kecergasan terjaga dan mengelakkan daripada sebarang kecederaan.
Alia yang berpengalaman dalam bidang fisioterapi hampir 10 tahun itu turut memaklumkan bahawa setiap peralatan yang digunakan memakan kos yang sangat besar dan ini membuatkan tidak semua pasukan mampu untuk melabur dalam pembangunan pasukan.
“Kekangan bajet sememangnya menjadi penghalang buat kebanyakkan pasukan kerana jika mahu mengikut kemahuan pengurusan boleh sahaja untuk membeli itu dan ini namun semuanya memerlukan dana termasuk Catapult Vest yang dipakai pemain itu memakan harga RM 30 ribu setiap satu,”
Beliau turut menjelaskan di Malaysia dahulunya pakar fisioterapi lebih dikenali sebagai tukang urut namun disebabkan peredaran zaman dan pemodenan bola sepak ia telah berkembang sekaligus menjadikan peranan fisioterapi sangat penting dalam sesebuah pasukan profesional.
“Bidang fisioterapi dalam kancah bola sepak malaysia sudah semakin berkembang kalau dulu pakar fisioterapi ini digelar sebagai tukang urut dan sudah jadi kebiasaan dalam kalangan peminat yang melihat tugas mereka ini sekadar berlari ke dalam padang dan spray kecederaan pemain,”
Meskipun bidang ini sudah semakin berkemban namun Alia turut akui masih banyak pasukan yang gagal untuk menjadikan sektor fisitoterapi mereka ke tahap profesional seperti yang dimiliki oleh Johor Darul Ta’zim dan Selangor FC.
“Di Malaysia perkembangan sudah baik namun perlaksanaannya masih belum dilakukan secara menyeluruh disebabkan kosnya yang tinggi tetapi untuk masa sekarang saya boleh cakap dua pasukan iaitu JDT dan Selangor telah melaksanakan perkara ini dengan sangat baik,”
Alia merupakan ahli fisioterapi wanita pertama yang menyertai kancah bola sepak tempatan bermula daripada peringkat Liga Daerah sehingga mewakili Perak FC dalam saingan Liga Super Malaysia.