Gimnastik bukan sukan berbahaya tapi sukan untuk semua orang – Khairuddin

449

Sukan gimnastik merupakan antara sukan yang popular ditonton apabila sesuatu temasya berlangsung, namun populariti sukan itu boleh dikatakan masih belum mencapai tahap seperti sukan-sukan lain.

Malaysia sebelum ini mempunyai ramai atlet-atlet gimnastik yang berjaya di peringkat dunia tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini ia semakin pudar dan sudah tidak banyak atlet yang berjaya mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa.


Bagi memastikan sukan gimnastik terus berkembang, Khairuddin bin Selamat Yaacob telah menubuhkan Artemis Gymnastics Academy di Johor Bahru dengan objektif utama beliau adalah untuk melahirkan lebih ramai atlet gimnastik dari negeri itu.

“Gimnastik bukan sukan berbahaya tapi sukan untuk semua orang. Tujuan asal saya wujudkan akademi gimnastik ini adalah kerana saya memang sayang gimnastik dan saya mahu lahirkan ramai atlet gimnastik dari Johor.

Kalau boleh satu hari nanti Artemis menjadi akademi dapat membanggakan negeri dan negara,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Bercerita lanjut mengenai penubuhan akademi Artemis, ia ditubuhkan pada tahun 2020 namun akibat pandemik COVID-19 melanda negara ia terpaksa dihentikan selepas sebulan sahaja beroperasi.

“Kami ‘comeback stronger’ dengan gim lebih besar apabila kami buka semula pada September tahun ini.”

Menurut Khairuddin, ketika ini beliau mempunyai lapan jurulatih iaitu seorang jurulatih dari Filipina dan tujuh lagi adalah bekas anak didiknya.

Dalam pada itu, akademi beliau tidak hanya memberi fokus pada pembangunan akar umbi sahaja tetapi turut membuka peluang kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk menceburi sukan gimnastik.

Malah di akademinya ketika ini mempunyai pelatih berusia dari tujuh hingga 30an kerana di Artemis mereka menawarkan dua pilihan iaitu gimnastik rekreasi dan juga kompetitif.

Sementara itu, biarpun masih ‘setahun jagung’ tapi akademi Artemis sudah pun berjaya melahirkan seorang atlet gimnastik negara iaitu Sofia Adriana yang kini telah diserap ke skuad junior kebangsaan di Bukit Jalil.