E-sukan sudah boleh dianggap sebagai satu kerjaya di Malaysia – AkmalJHD
Pemain professional EAFC, Akmal Abd Rafil atau lebih dikenali sebagai AkmalJHD melihat arena e-sukan di Malaysia semakin berkembang tahun demi tahun dan menyambut baik perkara itu.
Katanya, perkembangan itu membuatkan e-sukan kini sudah boleh dijadikan sebagai kerjaya tetap untuk semua pihak.
“Bagi saya perkembangan e-sukan di negara ini semakin baik, jika kita lihat dalam Sukan Asia pun negara kita dapat membawa pulang pingat.
Pendedahan seperti ini adalah baik dan saya lihat ia sudah boleh dijadikan sebagai satu kerjaya di Malaysia,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Beliau berkata demikian ketika majlis pelancaran EA Sports FC 2024 di RekaScape, Cyberjaya sebentar tadi.
Mengenai ekosistem e-sukan di Malaysia, beliau berkata bahawa lebih banyak pendedahan perlu dilakukan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai perkara itu.
“Permainan EAFC ini contohnya memang ramai yang main tetapi dalam bidang e-sukan mungkin tak berapa ramai yang yakin dan tahu yang Malaysia bukan sahaja ada tetapi mempunyai pemain yang berkelas dunia.
Mungkin pemain seperti saya sendiri harus tingkatkan pendedahan itu kepada orang ramai, bagi saya perkara ini memerlukan kerjasama semua pihak untuk naikkan e-sukan.”