Skuad ini masih dalam pembikinan, kita ada beberapa lagi pemain bagus di luar sana – Mohamad Haris Lajid

164

Ketua jurulatih skuad bola sepak pekak kebangsaan, Mohamad Haris Lajid menyifatkan beliau berbangga dengan persembahan anak-anak buahnya walaupun tumpas di tangan Mesir 1-0 pada perlawanan akhir peringkat kumpulan Kejohanan Bola Sepak Pekak Dunia 2023.

Katanya, para pemain menunjukkan mereka permainan dan semangat yang berbeza pada perlawanan ini berbanding perlawanan sebelum ini menentang Jerman.


“Pada hari ini mereka tunjukkan sesuatu yang berbeza daripada perlawanan menentang Jerman, mereka tunjukkan bahawa mereka boleh bermain walaupun Mesir merupakan salah satu pasukan pilihan tetapi mereka boleh bersaing.

Saya sudah katakan dari awal bahawa saya tidak letak sasaran buat skuad ini untuk kejohanan ini kerana pasukan ini masih dalam pembikinan, sasaran saya adalah untuk dua kejohanan besar tahun hadapan iaitu Sukan SEA untuk orang pekak dan Deaflympics,”

katanya

Katanya, beliau telah mengenal pasti beberapa pemain berbakat di luar sana yang tidak sempat untuk dimasukkan dalam skuad kali ini.

Malaysia menamatkan peringkat kumpulan di kedudukan tercorot selepas tumpas dalam ketiga-tiga perlawanan.

Beliau menambah, skuad ini pastinya akan bertambah baik lagi untuk dua kejohanan tersebut apabila pemain-pemain baharu menyertai mereka.

“Sebenarya saya dah risik ada beberapa pemain di luar sana yang bagus tetapi tidak sempat dikumpulkan untuk kejohanan ini.

Selepas ini, saya akan bekerjasama dengan persatuan untuk cuba cari pemain-pemain ini, dalam skuad ketika ini terasnya sudah ada, cuma kita perlu tambah baik lagi, mungkin ada beberapa pemain dalam skuad sekarang yang akan digugurkan dan digantikan dengan yang baru.”

Katanya, pemain-pemain sedia ada menunjukkan mereka faham dengan taktikal dan falsafah yang beliau mahu terapkan walaupun sempat berkumpul dalam masa yang singkat.