Malaysia ada pemain hebat, dalam dua tiga tahun lagi mereka mampu bersaing dalam Piala Dunia – Shawkat Elnagar

284

Ketua jurulatih skuad bola sepak pekak Mesir, Shawkat Elnagar menyifatkan bahawa Malaysia mempunyai pemain-pemain yang bagus dan mampu bersaing pada masa hadapan.

Beliau melihat, dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi Malaysia akan mampu bersaing dengan baik dalam kejohanan Piala Dunia.


“Saya gembira untuk perlawanan malam ini selepas bermain menentang Amerika Syarikat dan Jerman sebelum ini kerana dapat mencuba pemain-pemain lain.

Tetapi Malaysia mempunyai pemain yang bagus dan selepas dua atau tiga tahun saya lihat mereka mampu bersaing dalam Piala Dunia,”

katanya.

Beliau berkata demikian selepas tamat perlawanan peringkat kumpulan Kejohanan Bola Sepak Pekak Dunia 2023 menentang Malaysia yang menyaksikan pasukannya menang 1-0.

Tambahnya, selepas berjaya menjuarai kumpulan mereka, kini sasaran Mesir adalah untuk melangkah ke perlawanan akhir seterusnya menjadi juara.

“Kami harus mara ke perlawanan akhir dan menjulang kejuaraan buat kali pertama, pada tahun 2012 kami naib juara jadi kali ini kami mahu menjadi juara.”

Sementara itu, beliau mengakui gembira bermain di Malaysia dan melihat terdapat penyokong-penyokong yang hadir ke stadium.

Beliau juga turut gembira dengan layanan serta fasiliti yang disediakan oleh Malaysia untuk kejohanan itu.