Rahsia kejayaan kami adalah pemain yang sentiasa bekerja keras dalam setiap perlawanan – Esteban Solari
Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari memuji pemain-pemainnya yang telah mempamerkan aksi yang cukup cemerlang sepanjang musim saingan Liga Super apabila mereka berjaya merangkul kejuaraan buat kali ke-10 berturut-turut.
Menurut Solari, rahsia utama kejayaan mereka adalah hasil kerja keras semua pihak termasuk pemainnya.
“Rahsia kejayaan kami adalah pemain yang mana mereka sentiasa mahu belajar, bekerja keras dalam setiap latihan dan mempamerkan aksi cemerlang pada setiap perlawanan tanpa mengira pasukan mana yang mereka temui,”
katanya.
Beliau berkata demikian selepas perlawanan Liga Super yang menyaksikan JDT dengan mudah berjaya benam PDRM 4-0 sekaligus mengesahkan kejuaraan mereka di laman sendiri.
JDT mengekalkan rekod tanpa kalah mereka dalam 22 perlawanan apabila berjaya menang 21 perlawanan dan hanya seri satu perlawanan.
Dalam pada itu, disebalik dominasi pasukan Harimau Selatan dalam saingan Liga Malaysia, Solari mengakui berdepan kesukaran apabila mereka beraksi di pentas antarabangsa AFC Champions League (ACL).
“Kami telah mempamerkan prestasi cukup cemerlang dalam saingan liga domestik kerana kami adalah pasukan terbaik.
Tapi kini kami juga bersaing di peringkat antarabangsa dan ini adalah perkara sukar apabila perlu berdepan pasukan yang beraksi di liga lebih tinggi di mana kami perlu lebih bersedia dan perlu tingkatkan kualiti.”
Beliau bagaimanapun menyuarakan keyakinan terhadap kemampuan JDT mampu tingkatkan prestasi mereka di peringkat antarabangsa kerana mereka adalah sebuah kelab yang lengkap dengan pelbagai fasiliti berkelas dunia termasuk pemain-pemain dan staf pasukan yang hebat.