Kami tidak boleh terbuai dengan kejuaraan kerana perlu bersedia untuk cabaran baru – Bergson

1,020

Penyerang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva berkata beliau dan rakan sepasukan tidak boleh berasa selesa atau terbuai dengan kejayaan merangkul kejuaraan Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut.

Menurut Bergson, mereka perlu sentiasa bersedia untuk terus berikan yang terbaik dan cuba meningkatkan kualiti mereka.


“Bagi saya apabila sarung jersi JDT, masuk ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI) kami tidak akan pernah berasa cukup walaupun telah berjaya menang kesemua perlawanan atau kejuaraan.

Mereka (kelab) akan terus menuntut setiap pemain untuk beri aksi terbaik dan segala-galanya kepada kelab.

Kami tidak boleh terbuai dengan kejayaan kerana minggu depan ada cabaran baru dan sentiasa push diri sendiri untuk jadi pemain terbaik,”

katanya.

Dalam pada itu, pemain berasal dari Brazil ini juga berkata beliau kini pemain yang berbeza berbanding tiga tahun lalu kerana kini beliau tidak lagi ‘tamak’ untuk menjaringkan gol, sebaliknya akan sentiasa membantu pasukan untuk menang tidak kira siapa pun yang menjaringkan gol.

“Orang di sini mengajar saya bagaimana untuk jadi seorang pemain yang lebih baik dan jadi orang yang baik, belajar yang rakan sepasukan amat penting untuk pasukan dan sentiasa fikir apa yang saya boleh buat yang terbaik untuk bantu pasukan.

Hari ini saya buktikan apabila tidak bersikap tamak apabila memberi Arif Aiman peluang untuk menjaringkan gol menerusi sepakan penalti untuk menaikkan semangatnya.”

Sementara itu, dalam perlawanan Liga Super menentang PDRM FC malam tadi, Bergson berjaya menjaringkan gol pertama untuk bantu JDT menang 4-0 sekaligus mengesahkan kejuaraan mereka untuk musim 2023.