Tahniah JDT kerana berjaya kekalkan kejuaraan – Yunus Alif
Ketua jurulatih PDRM FC, Yunus Alif memberi ucapan tahniah kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) atas kejayaan mereka merangkul kejuaraan Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut selepas membenam pasukannya 4-0 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) malam tadi.
“Tahniah JDT kerana masih dapat mengekalkan kejuaraan. Yang jadi masalah pemain PDRM adalah gol yang berselang terlalu dekat. Itu membuatkan pemain hilang fokus sedangkan kita sudah pesan supaya tidak beri ruang kepada penyerang JDT.
Ini yang menjadi ketempangan dari pasukan kami tapi pemain-pemain muda yang saya bawa masuk dari B-23, mereka boleh meningkat jauh lagi kalau kita terus asah mereka seperti perlawanan malam tadi,”
katanya.
Menurut Yunus, apa yang lebih parah lagi apabila tiga pemain import mereka tidak dapat diturunkan dek kecederaan dan penggantungan.
Tambahnya ketiadaan ketiga-tiga pemain itu sangat dirasai kerana mereka adalah tulang belakang pasukan.
Susulan itu, beliau terpaksa membuat beberapa perubahan pasukan dan memasukkan pemain tempatan ia masih perlu lebih masa.
“Walau bagaimanapun pujian harus diberikan kepada pemain kerana mereka menunjukkan semangat juang yang tinggi, jadi tahniah kepada barisan kejurulatihan saya.”
Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan bahawa Hadi Fayyadh masih lagi belum pulih dari kecederaan, tapi beliau bersemangat mahu bermain dan beliau diturunkan berdasarkan pengalaman beliau beraksi di luar negara sebelum ini.
“Kita masukkan beliau untuk 45 minit bagi melihat samada beliau mampu atau tidak, tapi kemudian ambil keputusan untuk mengeluarkannya kerana kecederaan lutut.”
Sementara itu, beliau menuntut pemain-pemainnya untuk terus kekal fokus untuk baki perlawanan Liga Super dan juga perlawanan kedua Piala Cabaran.
“Pemain ini kadang-kadang mereka leka apabila bertemu dengan pasukan bawahan yang mana mereka akan mengikut rentak permainan pasukan lawan, jadi perkara ini yang kita mahu elakkan nanti.”