Hafizh Syahrin ibarat VR46 Malaysia! Harap dapat wujudkan akademi selepas bersara

133

Sukan permotoran di Malaysia adalah sukan yang boleh dikatakan cukup popular di negara, namun populariti itu tidak seperti sukan bola sepak atau pun badminton kerana sangat kurang pelumba negara yang menyerlah di peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun, beberapa tahun lalu sukan permotoran terutamanya MotoGP di negara menjadi cukup popular apabila kehadiran pelumba dari negara iaitu Hafizh Syahrin beraksi dalam kejohanan cukup berprestij.


Hafizh Syahrin telah mencetuskan fenomena luar biasa untuk sukan permotoran negara apabila beliau menjadi idola dan inspirasi kepada ramai anak muda yang ingin mengikut jejak langkahnya dalam dunia permotoran.

“Hafizh Syahrin bagi saya beliau mempunyak karakter yang cukup menyenangkan kerana bukan sahaja beliau ramah dengan peminat, tetapi juga disenangi oleh pihak media dengan karakter lucunya di hadapan kamera,”

kata wartawan Tarmac Sports, Awien Syahirah.

Selain karakter yang disenangi oleh semua pihak, antara faktor lain yang membuatkan pelumba negara itu dikenali adalah aksinya apabila berjaya naik podium.

“Hafizh ibarat VR46 (Valentino Rossi). Beliau dulu bila menang naik podium beliau akan sujud syukur. Tindakannya itu berjaya menarik perhatian peminat terutamanya yang beragama Islam yang mana tindakannya itu adalah kerana beliau bersyukur kerana menang.

Pelumba yang bukan beragama Islam tidak dapat berbuat demikian, jadi ia menjadi identiti beliau sendiri,”

ujar Fakhrul Syazwan.

Dalam pada itu, Fakhrul juga berharap Hafizh yang kini beraksi dalam kejohanan WorldSBK akan terus aktif dalam sukan permotoran walaupun sudah bersara.

Jelasnya, mungkin Hafizh boleh mewujudkan sebuah akademi untuk mengasah dan melahirkan lebih ramai pelumba negara yang mampu mencipta nama di persada antarabangsa.

“Pada pendapat saya sendiri, saya berharap jika Hafizh bersara satu hari nanti, jangan terus berhenti sebaliknya terus aktif dalam dunia permotoran dengan mewujudkan akademi untuk pembangunan bakat-bakat baru sekaligus dapat melahirkan lebih ramai Hafizh Syahrin.”