Beberapa pemain akademi Kerteh FC sudah dikenal pasti untuk dihantar ke Sepanyol – Adam Sariman
Ketua Pembangunan Pemain Kerteh FC, Adam Sariman mendedahkan bahawa kelab itu sudah mengenal pasti beberapa pemain akademinya untuk dihantar Sepanyol.
Katanya, mereka terdiri daripada beberapa pemain B-18 pasukan itu yang akan dihantar dalam masa terdekat.
“Ada beberapa pemain akademi yang kita sudah kenal pasti dalam kalangan B-18 untuk dihantar ke Sepanyol dalam masa terdekat.
Jika betul mereka mengikuti pelan pembangunan yang disediakan oleh kelab, untuk B-12 mungkin sedikit masa lagi,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Katanya, pelantikan Penasihat Teknikal kelab dari Sepanyol, Oscar Riera pada tahun itu telah berjaya membawa beberapa perubahan terhadap akademi kelab itu.
Tambahnya, pihak pengurusan kelab memang ada meletakkan sasaran buat akademi itu namun tidak meletakkan tekanan kerana proses pembangunan memerlukan masa.
“Dari pihak pengurusan memang ada sasaran tetapi kita faham proses pembangunan bukan mudah, kita juga harus lihat adakah jurulatih memberi latihan yang betul dan lengkap untuk kembangkan skil mereka.
Setakat ini tiada tekanan daripada pihak pengurusan cuma mereka mahu lihat perkembangan kerana pelaburan sudah dilakukan, ditambah dengan kemasukan Oscar Riera sebagai Penasihat Teknikal.”