Piala Uniti inisiatif yang baik dari FAM, patut diperluas lagi ke seluruh negara – Kamaruddin Omar
Pengurus Kelab TSS Selangor Malaysia, Kamaruddin Omar menyambut baik penganjuran kejohanan bola sepak akar umbi, Piala Uniti sempena Pestabola Merdeka 2023.
Beliau berpendapat bahawa ia perlu diteruskan lagi pada masa hadapan dan diperluaskan ke seluruh negara.
“Saya rasa ini adalah satu inisiatif yang baik daripada FAM dan perlu diteruskan lagi pada masa hadapan, ia amat baik untuk komuniti akar umbi di negara ini.
Saya rasa bukan saja di Lembah Klang tetapi kejohanan ini sepatutnya diperluaskan lagi di seluruh negara sempena Pestabola Merdeka,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Katanya, kejohanan itu adalah platform yang baik buat pasukannya mencabar diri mereka bermain secara kompetitif.
Tambahnya, beliau menekankan kepada para pemain supaya menganggap setiap perlawanan sebagai perlawanan akhir.
“Kita letakkan satu motivasi buat anak-anak kita untuk mencabar diri mereka, iaitu menganggap setiap perlawanan seperti perlawanan akhir.
Ia adalah sangat penting untuk mereka mencabar diri dalam sesuatu kejohanan.”
Sementara itu, beliau melihat semakin banyak akademi bola sepak yang berkualiti ditubuhkan, sekaligus memeriahkan lagi pembangunan akar umbi di negara ini.