Selangor ketika ini begitu kuat, kami harus jadi yang terbaik setiap perlawanan untuk terus kejar – Ifedayo Olusegun
Penyerang Kedah Darul Aman FC, Ifedayo Olusegun menganggap kemenangan menentang KL City FC pada perlawanan Liga Super sebentar tadi adalah penting untuk memastikan mereka terus bersaing bagi kedudukan kedua liga.
Katanya, Selangor ketika ini sedang berada dalam momentum yang baik, justeru mereka juga harus sentiasa berada di tahap terbaik untuk terus mengejar.
“Kami telah berikan yang terbaik pada hari ini dan ini adalah tiga mata yang sangat penting untuk apa yang kami sedang kejar sekarang.
Selangor ketika ini sangat bagus dan kuat, kami harus jadi yang terbaik dalam setiap perlawanan dan cuba memenangi semua baki perlawanan selepas ini,”
katanya.
Beliau berkata demikian selepas membantu pasukannya menewaskan KL City 1-0 dalam perlawanan yang berlangung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
Ketika ini, Kedah berada di kedudukan ketiga liga, lima mata di belakang Selangor yang bermain lebih satu perlawanan.
Sementara itu, beliau berkata, kemenangan menentang KL City itu tidak mudah kerana mereka adalah sebuah pasukan yang berdisiplin.
Tambahnya, keadaan padang yang tidak begitu baik juga mengganggu perlawanan namun bersyukur pasukannya berjaya membawa pulang tiga mata pada akhirnya.