Harapan untuk kembali sarung jersi kebangsaan tak pernah padam sampai gantung but – Kenny Pallraj

118

Pemain KL City FC, Kenny Pallraj mengakui hasrat untuk kembali menyarung jersi kebangsaan tidak pernah padam dalam dirinya.

Tegasnya, setiap pemain mempunyai cita-cita untuk mewakili negara dan ia adalah satu kebanggaan buat mana-mana pemain.


“Harapan untuk kembali menyarung jersi kebangsaan memang sentiasa ada kerana ia adalah satu kebanggaan bermain untuk negara sendiri.

Tetapi saya tak nak letak harapan yang tinggi, nanti diri sendiri yang kecewa, kalau ada rezeki dapatlah, tetapi cita-cita untuk mewakili negara memang tidak pernah padam sampailah gantung but,”

katanya.

Beliau berkata demikian selepas perlawanan menentang Kedah Darul Aman dalam saingan Liga Super yang menyaksikan pasukannya tewas 1-0.

Dalam pada itu, beliau berkata KL City tidak memberi fokus yang lebih terhadap kejohanan tertentu dan menganggap setiap perlawanan adalah penting.

“Kita tidak berikan keutamaan kepada kejohanan tertentu, bagi kami setiap perlawanan adalah penting.

Perlawanan menentang Kedah pun kita bermain dengan fokus yang penuh tetapi mereka juga bermain dengan baik, jadi kami terima kekalahan ini.”

Katanya, pada separuh masa pertama mereka tidak cukup konsisten dan bermain lebih baik pada separuh masa kedua, namun tidak berjaya untuk bangkit.