Impian untuk Cheras Celtic adalah mencontohi kejayaan JDT – Muhammad Khairi

132

Presiden Cheras Celtic, Muhammad Khairi Abdullah menjadikan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai contoh untuk mencapai kejayaan pada masa hadapan.

Katanya, sejak tertubuhnya kelab itu pada 2018 sehingga 2022, mereka hanya aktif menyertai liga sosial, dan kini mengambil satu langkah ke hadapan dengan menubuhkan akademi.


“Cheras Celtic ini ditubuhkan pada 2018, dan sehinggalah tahun 2022, kami hanya sertai liga sosial kerana tak terapkan kemajuan dalam bola sepak, sekarang kita sudah tubuhkan akademi pula dan pada masa hadapan mungkin pasukan wanita juga.

Saya ada impian yang besar untuk Cheras Celtic ini, bagaimana JDT ditubuhkan sehingga menjadi pasukan besar, begitulah juga Cheras Celtic akan capai,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Akademi Bola Sepak Cheras Celtic sebentar tadi.

Jelasnya, ketika ini terdapat 85 orang pelatih di akademi itu, dan terdapat lagi permintaan daripada ibu bapa untuk menghantara anak-anak mereka tetapi terpaksa ditolak.

“Sebenarnya ramai lagi ibu bapa di luar sana yang mahu menghantar anak mereka, tetapi kami tidak fikirkan kuantiti, kami mahu menekankan kualiti.

Jika kami pentingkan kuantiti, kami ambil saja ramai pelatih tetapi nanti pelatih-pelatih ini tidak mendapat ilmu yang cukup.”

Beliau berkata, walaupun yuran yang dikenakan rendah dan tidak mampu menampung kos operasi, kecintaan terhadap sukan bola sepak serta semangat untuk membangunkan pemain-pemain muda membuatkan mereka mewujudkan akademi tersebut.