Pada zaman gajet ini, kewujudan banyak akademi bola sepak boleh pastikan kanak-kanak ada aktiviti fizikal – Mohammed Ridzuan

189

Bapa kepada pelatih di akademi bola sepak Cheras Celtic, Mohammed Ridzuan bersyukur dengan kewujudan akademi bola sepak tersebut kerana mampu memberi kebaikan terhadap kanak-kanak masa kini.

Katanya, pada zaman gajet ini, kewujudan banyak akademi bola sepak seperti itu boleh memastikan kanak-kanak sentiasa melakukan aktiviti fizikal.


“Saya rasa memang perlu aktiviti fizikal seperti ini untuk kanak-kanak, ia untuk kesihatan mereka juga, saya rasa ia memberi anak saya satu nilai tambah.

Selain itu, ia juga adalah baik untuk minda kanak-kanak, dan ia boleh memastikan mereka lebih fokus di sekolah,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau juga berpendapat kewujudan akademi-akademi seperti itu mampu merancakkan lagi pembangunan akar umbi bola sepak negara.

Sementara itu, pelatih di akademi itu, Muhd Aidil Aiman berkata, jurulatih di situ mementingkan tahap kecergasan serta ketahanan mereka.

Beliau bercita-cita untuk menjadi seorang pemain bola sepak profesional pada masa hadapan.

Seorang lagi pelatih, Nur Kasih Airina pula tidak mempunyai masalah untuk berlatih di akademi itu yang majoritinya terdiri daripada pelatih-pelatih lelaki.

Beliau berhadap dapat mewakili Malaysia pada masa akan datang.