Prestasi pemain membanggakan walau ada halangan kecil, pasukan lain anggap Malayan Tigress saingan terkuat – Dr Siti Faidul Maisarah
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Dr. Siti Faidul Maisarah Abdullah menyifatkan bahawa negara-negara lain dalam kejohanan Women’s International Friendly menganggap Malaysia sebagai saingan terkuat.
Katanya, keseluruhan prestasi pemain pada kejohanan itu sangat membanggakan walaupun berdepan beberapa halangan kecil.
“Bagi saya sepanjang perlawanan kita di Taif, pemain telah pamerkan persembahan yang hebat, dan pasukan-pasukan lain pun katakan bahawa Malaysia adalah antara saingan terkuat.
Walaupun ada beberapa halangan kecil contohnya untuk menyesuaikan diri dari segi cuaca dan juga rehat yang tidak cukup, tetapi mereka telah melakukan dengan baik, dan saya lihat ini boleh dipertingkatkan lagi pada masa hadapan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Beliau melihat gabungan antara muka lama dan baru, serta pemain muda dan senior dalam skuad itu dapat membantu pasukan bermain dengan baik.
Dalam pada itu, beliau berkata bahawa kejayaan meraih tempat ketiga di kejohanan itu bukanlah penamat kerana FAM mempunyai perancangan yang rapi untuk bola sepak wanita serta Malayan Tigress .
“Semestinya kami ada perancangan yang positif buat bola sepak wanita kerana kami benar-benar mahu memajukan bola sepak wanita di negara ini.
Selepas ini kita akan adakan perlawanan yang lebih baik lagi, mungkin ajak pihak lawan datang ke sini pula, apa yang pasti kita sedang merancang banyak aktiviti dan program pembangunan untuk bola sepak wanita.”
Beliau turut memuji pemain-pemain negara yang berkelanan ke luar negara seperti Azurin Mazlan dan Nur Lyana Soberi, dan menganggap pengalaman mereka di luar memberi manfaat serta nilai tambah buat skuad negara.