Bukan mereka tidak bagus cuma taktikal saya memerlukan pemain yang laju – Rakphol Sainetngam

295

Rakphol Sainetngam jelaskan faktor pemilihan pemain untuk di bawa ke Kelayakan Piala Asia Futsal 2024 Uzbekistan adalah atas keserasian mereka dengan taktikal yang telah dirangka sejak awal.

Menurut Rakphol yang diangkat sebagai jurulatih skuad futsal kebangsaan beberapa bulan lalu memberitahu bahawa semua pemain yang menghadiri kem latihannya adalah terbaik namun beliau juga perlu memilih pemain-pemain yang sesuai dengan taktikal dan corak permainan yang diterapkan.


“Untuk menjayakan taktikal yang dirangka, saya memerlukan pemain-pemain yang laju dan mereka semua bagus cuma saya memerlukan pemain-pemain yang sesuai dengan strategi dan posisi yang diperlukan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Selain itu juga, jurulatih asal Thailand itu menerangkan bahawa faktor pemain yang berperanan sebagai Fixo terlalu ramai dan beliau memerlukan Pivot untuk memastikan strategi dan taktikal yang diaplikasikan menjadi.

“Dalam pasukan sebelum ini saya memiliki terlalu ramai Fixo dan yang saya perlukan adalah Pivot jadi itu antara sebab mereka digugurkan,”

Setelah sebulan melihat dan melatih pemain-pemain futsal terbaik negara, Rakphol akui mereka serap segala latihan serta arahan yang diberikan dengan sangat cepat sehingga mampu mempamerkan aksi yang baik semasa di Thailand tempoh hari.

“Saya rasa pasukan ini sudah mula untuk memahami segala aspek latihan saya mungkin dalam 90% berdasarkan perlawanan persahabatan mereka tempoh hari dan untuk perlawanan kelayakan selepas ini kami perlu banyakkan lagi berlatih aspek teknikal seperti power play dan set piece play,”

Rakphol turut meluahkan rasa gembiranya dan mengharapkan para pemain dapat mempamerkan aksi yang lebih baik apabila mereka bersaing dengan pasukan ranking lebih tinggi seperti Iraq (41) dan Uzbekistan (25).

“Bagi saya untuk perlawanan persahabatan baru-baru ini saya sangat gembira dengan persembahan para pemain dan saya harap dalam kelayakan kali ini kami dapat berikan yang terbaik untuk negara Malaysia.”