Kami akan lahirkan atlet olahraga yang bertaraf antarabangsa – Nurul Izzah
Pengasas bersama kelab olahraga BeeCity Squad, Nurul Izzah dan Siti Fatimah simpan hasrat untuk melihat anak buah mereka melangkah di kejohanan dunia sekaligus menjadi atlet bertaraf antarabangsa.
BeeCity Squad yang ditubuhkan pada tahun 2018 telah mengangkat Siti Fatimah iaitu atlet lari pecut negara sebagai ketua jurulatih yang mana telah melahirkan beberapa atlet olahraga berkualiti yang bersaing di peringkat kebangsaan seperti Sukan Malaysia (SUKMA) dan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).
Menurut Izzah dalam tempoh beberapa tahun ke hadapan beliau sangat yakin dan berharap akan ada atlet olahraga bertaraf antarabangsa yang lahir daripada modul latihan yang dibina dalam kelab mereka itu.
“Saya sebagai pengasas BeeCity Squad mahu mereka yang sertai menjadi atlet olahraga yang bertaraf antarabangsa suatu hari nanti,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Fatimah yang sehingga kini masih cergas dalam aktiviti larian terutama acara reben biru itu memaklumkan cabaran yang terbesar bagi dirinya adalah untuk melatih serta membetulkan teknik larian para peserta yang menyertai latihannya.
“Tiada siapa yang datang berlatih di sini untuk tidak mendapatkan apa-apa semua mahu meraih sesuatu dan cabaran untuk saya adalah membetulkan larian mereka kerana bukan semua yang datang berbakat dalam larian,”
Beliau yang kini berusia 35 tahun mahu memastikan setiap ilmu yang disalurkan semasa latihan dapat diserap oleh para atlet dan Fatimah turut berharap mereka meraih setiap kejayaan yang diinginkan dalam sukan olahraga.
“Saya harap setiap titik peluh yang dikeluarkan oleh para atlet ketika mempelajari ilmu yang saya beri ini dapat mencapai apa yang mereka inginkan.”
BeeCity Squad yang berpengkalan di Stadium MPKJ, seksyen 15 Bandar Baru Bangi turut menyediakan pakej rahmah setiap bulan yang mana dengan bayaran RM150 peserta mendaftar akan menerima empat sesi latihan untuk tempoh 1 bulan tersebut.