Saya sedang kaji diri saya adakah masih mampu bersaing dengan atlet-atlet luar – Siti Fatimah

174

Atlet lari pecut negara, Siti Fatimah masih enggan mengalah dengan sukan olahraga dan masih mahu berusaha mencapai sasaran peribadinya meskipun sudah memasuki peringkat umur 37 tahun.

Fatimah yang lebih mesra dikenali sebagai Tim beranggapan sebagai seorang atlet olahraga yang berpengalaman, umur ialah sekadar angka dan selagi mempunyai keupayaan dan tekad yang tinggi selagi itu juga mereka kekal relevan dalam sukan ini.


“Jika dilihat dalam sukan Asia yang sedang berlangsung ada seorang atlet yang memenangi pingat emas bagi acara 400 meter berusia 35 tahun jadi bagi saya umur ini sekadar angka dan sekarang saya sedang mengkaji diri saya adakah dengan umur sekarang saya masih mampu untuk bersaing dengan atlet-atlet luar,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dengan usia yang sudah hampir menjangkau 40-an menyaksikan rata-rata atlet kebiasaannya akan mengantung kasut dan mula mencari pendapatan di luar bidang namun tidak bagi Fatimah yang masih berusaha untuk mengejar sasaran peribadinya yang tidak diketahui umum.

“Sebenarnya sudah ada tanda-tanda yang menunjukkan karier olahraga saya kini berada di penghujung tetapi saya mahu cuba sedikit sahaja lagi,”

“Ada perkara yang belum tercapai dan saya memerlukan sedikit masa sahaja lagi untuk capai sasaran tersebut sebelum saya tamatkan karier saya namun apa sasarannya saya tidak boleh kongsikan dan biarlah,”

Beliau yang mempunyai pengalaman beraksi di beberapa siri Sukan Sea menganggap Zaidatul Husniah adalah insan yang tepat untuk memberikan inspirasi serta motivasi kepada atlet-atlet olahraga negara yang sehingga hari ini sudah kian meningkat prestasi mereka.

“Keberadaan Zaidatul Husniah di dalam skuad olahraga kebangsaan adalah suatu yang bagus kerana ia dapat memberikan inspirasi buat pemain-pemain muda untuk teruskan perjuangan dan latihan,”

Melihat situasi sukan olahraga yang sudah mula meningkat naik, Fatimah berpesan supaya setiap kerajaan negeri mula bersatu hati untuk menyediakan program yang dapat membina atlet-atlet olahraga berpotensi di peringkat negeri masing-masing dan bukan hanya bergantung kepada Majlis Sukan Negara (MSN) semata-mata.

“Bagi saya semua negeri perlu memainkan peranan dan jangan hanya bergantung harap kepada Majlis Sukan Negara sahaja seperti Johor, Sabah dan Sarawak yang menunjukkan komitmen mereka dalam melahirkan atlet-atlet olahraga.”