Saya pernah tolak tawaran daripada Selangor Red Giant – Fox Analyst

142

Fox Analyst akui ada satu ketika beliau menerima tawaran untuk bekerja di salah sebuah pasukan profesional Mobile Legends Bang Bang (MLBB) yang kini sedang beraksi dalam saingan Mobile Legends Professional League Malaysia (MPL MY) namun ditolak atas faktor kekangan masa.

Fox atau nama sebenarnya Fok Jia Chung pernah ditawarkan jawatan sebagai penganalisis bagi pasukan Selangor Red Giants secara sepenuh masa namun disebabkan masih lagi dalam tempoh pembelajaran di peringkat Ijazah, beliau terpaksa menolak tawaran tersebut.


“Saya pernah ditawarkan jawatan sebagai penganalisis di Red Giant namun mereka mahu saya bekerja secara sepenuh masa tapi disebabkan saya masih belajar jadi terpaksa tolak tawaran tersebut,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau yang kini berada di tahun ketiga dalam jurusan Audiologi di Universiti Kebangsaan Malaysia kampus Kuala Lumpur menyifatkan peluang sedemikian memang tidak akan datang bergolek namun pelajaran juga penting untuk masa hadapan.

Melihat kancah MLBB yang semakin meningkat naik dan disertai pasukan-pasukan negeri seperti Selangor Red Giants dan Mpxnsea dari Negeri Sembilan, Fox mahu melihat pasukan negeri kelahirannya iaitu Johor Darul Ta’zim turut serta dalam musim-musim yang mendatang.

“E-sukan di Malaysia sekarang memang sudah berkembang seperti Selangor dan Negeri Sembilan serta Kelantan pun sudah mula mengorak langkah mereka dan saya sangat berharap Johor boleh secara perlahan-perlahan bertapak kerana saya orang Johor dan saya mahu melihat pasukan johor di MPL MY,”

Fox yang sudah mengikuti MPL MY sejak musim ke-4 turut berkongsi ramalan beliau menjelang Grand Final MPL MY musim ke-12 dengan meletakkan pasukan RSG sebagai juara dan secara terus mewakili Malaysia untuk layak ke M5 di Filipina.

“Saya menjangkakan RSG akan muncul juara musim ini kerana melihat kepada momentum winstreak mereka di samping keberadaan Demonkite yang sehingga kini menampilkan persembahan yang memukau.”