Bidaan Australia, New Zealand dan negara Asia Tenggara mampu realisasikan impian Piala Dunia 2034

157

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) secara rasminya telah mengumumkan tuan rumah bagi Piala Dunia 2030, di mana buat pertama kali dalam sejarah sebanyak enam negara dipilih dan akan dimainkan di tiga benua.

Argentina, Paraguay dan Uruguay dari benua Amerika Selatan, Portugal dan Sepanyol dari benua Eropah, serta Maghribi dari benua Afrika.


Selain itu, FIFA juga turut mempelawa negara-negara dari AFC dan OFC untuk menghantar bidaan bagi menganjurkan kejohanan itu.

Sebelum ini, terdapat banyak laporan yang mengatakan bahawa negara-negara Asia Tenggara berminat untuk menganjurkan kejohanan itu bersama.

Yang terbaru, Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin ada bertemu dengan Presiden FIFA, Gianni Infantino bagi menyuarakan kesediaan negara-negara ASEAN untuk menganjurkan Piala Dunia 2034.

Menurut laporan, Australia juga turut berminat untuk menganjurkan kejohanan itu, dengan mengadakan kerjasama dengan New Zealand dan beberapa negara Asia Tenggara, termasuklah Malaysia.

Sekiranya perkara itu benar, ia pastinya mampu menguatkan lagi peluang untuk negara Asia Tenggara, termasuklah Malaysia menganjurkan kejohanan itu buat kali pertama dalam sejarah.

Ini kerana, Australia dan New Zealand mempunyai reputasi dalam menganjurkan kejohanan Piala Dunia Wanita baru-baru ini dengan jayanya, justeru kedua-dua negara itu mempunyai kelebihan.

Dengan kerjasama daripada negara Asia Tenggara, ia dapat menguatkan lagi bidaan tersebut dan melawan bidaan daripada negara lain seperti Arab Saudi.

Arab Saudi dilaporkan akan menghantar bidaan untuk menganjurkan kejohanan itu, menurut kenyataan oleh Persatuan Bola Sepak Arab Saudi.

Dengan industri bola sepak di negara itu dilihat semakin berkembang dengan kehadiran bintang-bintang terkemuka dunia dalam liganya, ia mungkin dapat membantu negara itu memenangi bidaan.

Tetapi, dengan kerjasama negara-negara Asia Tenggara, Australia dan New Zealand, ia mungkin cukup untuk meyakinkan FIFA dalam mempertimbangkan bidaan untuk menganjurkan Piala Dunia 2034.