Menangi ‘Stadium Tour’ Ekslusif bersempena Pestabola Merdeka bersama Bank Islam dan FAM

249

Lawatan stadium atau Stadium Tour merupakan salah satu impian besar buat peminat bola sepak, lebih-lebih lagi jika melibatkan pasukan kesayangan.

Siapa yang tidak mahu merasai peluang untuk meneroka stadium pasukan kesayangan, serta berada di kawasan eksklusif seperti bilik persalinan pemain, ruang VIP dan lain-lain.


Bayangkan perasaan apabila masuk ke bilik persalinan pemain pada hari perlawanan serta melihat di depan mata para pemain turun daripada bas dan melangkah masuk ke stadium.

Pastinya ia adalah satu pengalaman berharga buat seorang peminat bola sepak.

Bersempena dengan kejohanan Pestabola Merdeka 2023, anda berpeluang untuk merasai pengalaman Stadium Tour di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) ketika hari perlawanan.

Setelah beberapa bulan ditutup bagi kerja-kerja penambahbaikan, SNBJ akhirnya akan dibuka semula kepada umum untuk kejohanan yang bakal berlangsung pada 13 dan 17 Oktober ini.

Anda berpeluang untuk merasai pengalaman Stadium Tour di SNBJ yang sudah berwajah baharu menerusi peraduan Teka Bola anjuran Bank Islam.

Peraduan ini khusus buat pemegang Kad Debit-i Bank Islam Visa Team Harimau, di mana peserta harus meneka posisi bola dalam gambar untuk memenangi sepasang tiket perlawanan bagi menonton kejohanan Pestabola Merdeka 2023.

Lima pemenang utama akan dipilih untuk memenangi sepasang tiket Stadium Tour di mana mereka akan dibawa ke bilik persalinan pemain, terowong, Royal Box, bilik sidang media, padang dan lain-lain.

Peraduan dijalankan melalui atas talian bermula dari 5 hingga 10 Oktober, dan mereka yang berminat boleh mendapatkan borang penyertaan di laman sesawang dan media sosial Bank Islam, laman sesawang dan media sosial Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), serta laman sesawang dan media sosial Harimau Malaya.