Saya yang bertanggungjawab atas kegagalan Todak layak ke M5 – Kuja
Jurulatih pasukan Todak, Kuja akui kejatuhan mereka adalah disebabkan salah dirinya sendiri yang gagal menjumpai penyelesaian awal di atas konflik yang menganggu mental para pemain mereka sejak awal musim Mobile Legends Professional League Malaysia (MPL MY).
Kuja atau nama sebenarnya Ajwad Bin Mohd Yusof menyifatkan kegagalan pasukan Todak layak ke Kejohanan Dunia M5 tahun ini perlu diletakkan di atas bahunya selepas prestasi yang terumbang ambing ditonjolkan Todak.
“Kekalahan ini perlu saya ambil sebagai tanggungjawab tidak mengira sebesar apa pun kesalahan orang lain, saya akan ke hadapan untuk menerima segala yang dihujatkan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Todak yang membuat perubahan drastik melibatkan beberapa pemain penting mereka masih gagal memberi saingan buat pasukan-pasukan MPL MY musim ke-12 selepas gagal berada di kedudukan teratas liga.
Kuja turut meluahkan rasa sedihnya kerana gagal membawa pasukan Todak menjadi juara berganda musim ini selain sudah mencuba sehabis baik bagi memastikan pasukannya mengulangi prestasi seperti musim-musim sebelum ini.
“Yang membuatkan saya rasa sedih sangat adalah saya sudah cuba sehabis baik dan bukan saya tidak mencuba langsung tetapi berbalik kepada rezeki apabila pasukan yang kerap kali juara seperti Todak gagal saya memang salahkan diri saya sendiri sebelum pemain,”
Selepas tersingkir daripada MPL MY musim ini, Kuja yang masih mempunyai kontrak berbaki sehingga hujung tahun ini menyerahkan segala keputusan di tangan pihak pengurusan sekiranya gagal mencapai apa yang diinginkan oleh mereka.
“Berkenaan kontrak saya tidak boleh nak dedahkan tetapi sepatutnya saya akan terus bersama Todak sehingga hujung tahun ini namun semuanya bergantung kepada keputusan pihak pengurusan sama ada mahu mengekalkan saya lagi atau tidak berdasarkan KPI yang ditetapkan,”
Kuja juga akhirnya akui bahawa identiti ‘Todak Langgar’ yang hilang sejak awal musim sudah kembali namun disebabkan kesuntukan masa dan sudah memasuki pusingan playoff, Todak kemudiannya tumbang di tengah jalan.
“Macam saya cakap dalam kongsian saya di laman instagram tentang pasukan kami lambat panas kerana identiti Todak Langgar itu hilang disebabkan kami membawa masuk beberapa pemain baru tetapi baru-baru ini kami sudah dapat kembali cuma masa yang tidak menyebelahi kami.”