Kepakaran luar negara mampu bantu atlet tertentu capai prestasi terbaik
Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dilaporkan mahu menghantar dua atlet olahraga untuk berlatih di luar negara selepas melihat impak yang diberikan kepada Muhammad Azeem Fahmi dan Shereen Samson Vallabouy pada Sukan Asia.
Azeem dan Shereen masing-masing berjaya menyumbangkan pingat gangsa dalam acara 100 meter lelaki serta 400 meter wanita dan 4×100 meter wanita.
Mereka membuktikan bahawa tindakan mereka berkelana di luar negara berjaya meningkatkan lagi prestasi mereka.
Harus diakui bahawa Malaysia tidak mempunyai kepakaran membangunkan atlet dalam beberapa sukan tertentu seperti olahraga, justeru tindakan menghantar atlet untuk berkelana di negara yang mempunyai kepakaran adalah amat baik.
Apa yang dilakukan oleh KOM ini adalah satu perkara yang amat baik dan sepatutnya dicontohi oleh sukan-sukan lain lagi.
Sebelum ini, telah banyak contoh yang ada seperti sukan berbasikal trek, di mana Datuk Azizulhasni Awang yang menjalani latihan di Australia berjaya menyumbangkan pingat di Olimpik dan juga kejohanan dunia.
Dengan kejayaan kontinjen olahraga negara yang menunjukkan prestasi yang baik pada Sukan Asia kali ini, ia memberi satu contoh yang baik bahawa Malaysia perlu memperbanyakkan lagi usaha untuk menghantar atlet menjalani latihan di luar negara sekiranya diperlukan.
Sekiranya bakat-bakat yang ada terperap sahaja di Malaysia sedangkan mereka boleh menjadi lebih baik dengan kepakaran di luar negara, ia amat merugikan buat atlet itu sendiri dan juga negara.