Kemasukan pemain import, pemain tempatan yang hilang tempat – XK Penjahat
Mobile Legends Professional League Malaysia (MPL MY) kini sudah mula dipandang tinggi oleh pemain-pemain profesional daripada luar negara namun XK Penjahat melihat perkara ini sebagai satu petanda baik dan buruk buat industri e-sukan tempatan.
Kehadiran pemain-pemain import dalam kancah Mobile Legends Bang-Bang (MLBB) Malaysia sememangnya merancakkan lagi perlawanan-perlawanan yang dimainkan namun ia juga boleh menyebabkan pemain tempatan kurang mendapat tempat dalam pasukan mereka sendiri.
“Kemasukan pemain import dalam MPL MY ini ada kelebihan dan kekurangannya yang mana kelebihannya adalah dari sudut menaikkan semangat juang pemain-pemain tempatan untuk menunjukkan kehebatan mereka sendiri untuk merebut slot dalam pasukan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Menurut Penjahat yang sudah lama berkecimpung dalam dunia MLBB, beliau melihat kemasukan pemain import ini memberikan petanda yang tidak baik buat para pemain tempatan yang gagal menyaingi mereka sekaligus tidak menyerlah di MPL negara sendiri.
“Kekurangannya adalah pemain tempatan tidak berpeluang untuk bermain atau menyerlah di MPL negara sendiri,”
Pernah berjaya mencipta fenomena bersama pasukan AirAsia Saiyan pada awal kemunculan MLBB di Malaysia, Penjahat menyifatkan kemunculan semula ke kancah e-sukan ini mungkin akan berlaku namun buat masa kini beliau cuma mahu mengikut arus kehidupannya sahaja.
“Tidak pasti lagi kerana keinginan itu ada tetapi niat untuk kembali masih belum ada jadi sekarang saya mahu layari kehidupan saya terlebih dahulu.”