Ikut pengalaman saya memang ada kelewatan gaji sebab pihak penaja belum salur dana – Ab. Ghani Hassan

224

Presiden Malaysian Football League (MFL), Datuk Ab. Ghani Hassan tidak menolak kemungkinan ada kelab-kelab yang berdepan masalah gaji.

Menurut Ab. Ghani, antara faktor utama kelewatan yang berlaku adalah kerana pihak kelab lambat menerima dana dari pihak penaja.


“Setakat ini kita dengar, tiada aduan dari MFL tapi berdasarkan pengalaman saya memang ada kelewatan sebab ia berlaku kerana pihak penaja belum memasukkan wang dalam kelab-kelab berkenaan, jadi mesti ada kelewatan.

Perkara itu juga sedang dipantau oleh pihak MFL ketika ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Ab. Ghani berkata ketika ini bahagian pelesenan MFL sedang membuat gerak kerja dalam proses dokumentasi kelab-kelab bagi memastikan mereka layak untuk mendapat Lesen Kebangsaan bagi bersaing di Liga Super pada musim hadapan.

Beliau pada masa sama juga tidak dapat memberi bayangan bahawa akan ada kelab dari Liga M3 yang mungkin boleh dinaikkan ke Liga Super sekiranya ada kelab yang tidak dapat Lesen Kebangsaan pada musim depan.

“Ini juga di bawah bidang kuasa pelesenan MFL, masih dalam proses penilaian di peringkat pelesenan dan hanya akan diketahui pada hujung tahun ini samada ada kelab dari AFL (Amateur Football League) akan sertai Liga Super musim depan.”

Tambahnya lagi, buat masa ini terdapat hanya satu slot automatik dan satu slot play-off kepada kelab di saingan Liga M3 untuk naik ke Liga Super.

Dalam pada itu, Ab. Ghani turut menjawab mengenai khabar angin perubahan jadual liga pada musim hadapan dan berkata perkara itu masih belum diputuskan oleh pihaknya.

“Kita masih membuat struktur lagi dan baik juga kita mengikut perkembangan liga di peringkat Asia ini kerana buat masa ini kita pada tahun sama sahaja berbanding liga-liga lain yang bermain 2024/25.

Maka sudah tiba masanya kita juga akan mengikut liga-liga lain sebab banyak kebaikan kita akan perolehi.”