Kita akan ada sekurang-kurang 1,000 penyokong di Qatar nanti! Masih tunggu kata putus dari MAS – Lekir

1,121

Kehangatan kejohanan berprestij di rantau Asia iaitu Piala Asia 2023 semakin dirasai dengan penyokong Harimau Malaya atau lebih dikenali sebagai Ekor Harimau Malaya turut teruja menanti kejohanan yang akan berlangsung pada Januari tahun depan.

Ultras Malaya (UM) adalah yang terawal mengesahkan diri bahawa mereka akan turun ke Qatar bagi memberi sokongan padu buat skuad negara nanti.


Menurut Capo UM iaitu Lekir Hj. Ahmad, pihaknya sudah pun mengadakan perbincangan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Malaysia Airlines bagi mengenai perancangan perjalanan mereka ke sana.

“Persiapan terkini ke Qatar adalah kita sudah duduk semeja dengan FAM, dengan Menteri KBS, YB Hannah Yeoh dan juga MAS bagi membincangkan mengenai perkara ini dan pada 11 Oktober ini KBS akan membuat satu conference untuk menerangkan flight akan dibuka kepada umum.

Tiada slot istimewa untuk UM sebaliknya konsepnya siapa cepat dia dapat jadi peluang itu sama rata. Keutamaan kita ketika ini adalah untuk dahulukan flight terlebih dahulu,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Jelasnya lagi, buat masa ini pihaknya masih belum mendapat kata putus dari pihak MAS mengenai harga tiket dan juga adakah ia penerbangan charted flight  atau penerbangan komersial.

Dalam pada itu, Lekir juga memberitahu sekurang-kurangnya 1,000 penyokong dijangka akan hadir untuk memberikan sokongan padu buat skuad kendalian Kim Pan-gon itu nanti.

“Kita tak nak sasar lebih sangat tapi saya anggarkan dalam satu flight 300 penyokong ada dan crowd akan jadi besar kerana saya juga sudah berhubung dengan wakil di Qatar yang mana kita sudah ada 500 penyokong tegar di sana.

Untuk pengetahuan di Qatar kita ada hampir 5,000 penyokong. Dengan 500 di sana dan 300 dari UM campur dengan penyokong yang bergerak sendiri jadi saya rasa dengan mudah kita akan dapat 1,000 penyokong nanti.”

Beliau pada masa sama turut menekankan bahawa UM tidak pernah mengharapkan apa sahaja jenis tajaan termasuk tiket penerbangan kerana mereka tiada masalah untuk mengeluarkan wang dari poket mereka sendiri.

UM sebaliknya hanya minta pihak KBS dan MAS untuk membantu dari segi urusan tiket.

“Menerusi Football Fanatics kami sedang menjalankan satu misi dengan dengan mewujudkan merchandise yang berharga RM150 yang mana sebahagian dari jualan akan dikumpulkan.

Buat masa ini kita sudah berjaya kumpul hampir RM16,000 yang mana ia akan digunakan ketika berada di Qatar nanti yang mana ia bukan penggunaan individu sebaliknya digunakan untuk kos penginapan, pengangkutan dan juga keperluan penyokong.”  

Sementara itu, Lekir berharap agar pemain-pemain negara akan berjuang habis-habisan untuk cuba mendapat mata semaksimum yang mungkin dan tidak mahu kehadiran Harimau Malaya di Piala Asia sebagai pelengkap jadual sahaja.