Junior Eldstal akui peminat letak harapan tinggi untuk Pestabola Merdeka 2023
Pemain pertahanan negara Junior Eldstal mengakui harapan tinggi yang diletakkan peminat terhadap pasukan kebangsaan untuk kejohanan Pestabola Merdeka 2023 yang akan berlangsung bermula 13 Oktober ini.
Menurut Junior, harapan menggunung peminat berikutan aksi cemerlang skuad Harimau Malaya pada dua perlawanan persahabatan antarabangsa baru-baru ini menentang China dan Syria pada September lalu.
“Kami sedar bahawa jangkaan atau harapan peminat terhadap kami selepas perlawanan menentang China dan Syria kini lebih tinggi kerana dalam kedua-dua perlawanan itu kami boleh menang sebenarnya walaupun kami terpaksa akur dengan keputusan seri.
Prestasi cemerlang yang dipamerkan oleh setiap pemain disumbang oleh faktor mempunyai keyakinan diri. Namun kita juga perlu akui bahawa pasukan India adalah sebuah pasukan yang kuat kerana mereka berada di kedudukan ke-102 dunia ketika ini.
Tajikistan dan Palestin juga adalah pasukan yang hebat jadi saya harap kita dapat meneruskan momentum pada kejohanan Pestabola Merdeka nanti,”
katanya.
Junior mengakui cukup teruja untuk kejohanan kali ini kerana beliau mahu mengulangi kejayaan pada Pestabola Merdeka 2013 yang mana ketika itu skuad negara berjaya menjulang trofi berprestij tersebut.
“Sudah pasti saya mahu ulangi kejayaan lalu. Jika ada yang masih ingat, saya ada jaringkan gol ketika itu yang mana perlawanan berlangsung di Kuatan, Pahang. Tapi ketika itu saya main di bahagian tengah, tapi kini saya bermain di posisi pertahanan.”
Tambahnya lagi, kejayaan itu menjadi momen yang cukup berharga dalam karier bola sepaknya.
Junior pada masa sama juga berkata suasana dalam pasukan cukup harmoni dan setiap pemain berasa cukup bersemangat.
Dalam pada itu, beliau turut teruja apabila skuad negara akan kembali beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) selepas setahun tidak dapat turun beraksi di stadium keramat dek proses penukaran rumput.
“There’s no place like home, bila kami bermain di SNBJ kami bukan sahaja bermain dengan 11 orang tetapi 12 orang iaitu penyokong adalah pemain ke-12, jadi perasaan ini rasa ‘sedap’. Jadi harap kita dapat ulangi kejayaan pada kelayakan Piala Asia 2023.”