Homebois dan Daddyhood menjadikan komuniti e-sukan ini sangat unik – Syed Saddiq

105

Syed Saddiq melihat Homebois dan Daddyhood memainkan peranan yang sangat penting dalam menghidupkan senario e-sukan tempatan sekaligus menjadikan ia lebih unik.

Beliau yang dilihat hadir untuk merancakkan lagi suasana Grand Final MPL MY musim ke-12 hari ini terpukau dengan kehadiran peminat yang terdiri daripada pelbagai kelompok termasuk golongan ibu bapa.


“Tadi saya duduk dibelakang ibu bapa yang datang untuk menyokong dan bagi saya itu sangat unik kerana dahulu ibu bapa menganggap permainan video ini sesuatu yang membuang masa tetapi atas impak yang dilakukan oleh Homebois dan Daddyhood ia menjadikan komuniti e-sukan ini sangat unik,”

katanya.

Menurut wakil rakyat tersebut, komuniti yang unik ini terbentuk hasil usaha Daddyhood yang tidak putus-putus memikirkan cara untuk menarik semua kelompok masyarakat bersatu dan memahami e-sukan ini.

“Saya mengikuti sudah lama dan melihat bagaimana Daddyhood menarik minat mereka yang mungkin tidak tahu perkembangan e-sukan ini sebagai satu perkara yang agak unik,”

Beliau yang sebelum ini pernah menyandang jawatan Menteri Belia dan Sukan menyifatkan industri e-sukan negara semakin berkembang dengan dana-dana khas yang disalurkan oleh kerajaan melalui saranannya pada 2018 meskipun pada awalnya ramai yang meremehkan.

Dengan menghadiri Grand Final MPL MY hari ini, Syed Saddiq sendiri akui industri ini mampu untuk berkembang dengan lebih luas lagi dengan usaha pelbagai pihak untuk mengakarkan lagi e-sukan ini.

“Saya rasa masih banyak lagi yang wajar dilakukan dalam industri e-sukan kerana semasa saya berkhidmat dahulu pada tahun 2018 pertama kali kita perkenalkan dana khas buat e-sukan namun pada masa itu banyak pihak yang memandang e-sukan ini satu perkara yang membuang duit,”

“Jelas hari in kita lihat saban tahun peruntukan yang diberikan makin banyak dan semua orang tidak mengira siapa sudah mengiktiraf e-sukan ini selain kita tidak boleh terlampau berharap dari sudut pendanaan tetapi kita perlu akarkan supaya ia cukup kukuh untuk masa depan Malaysia.”