Saya dedikasikan hidup saya musim ini kepada pasukan MLBB – Daddyhood

142

Daddyhood memilih untuk bersara selepas mengharungi MPL MY musim ke-12 yang sangat meletihkan bagi dirinya di samping ingin meluangkan lebih banyak masa bersama keluarganya.

Beliau yang ditemui memberitahu musim ini sememangnya memenatkan dan tidak akan dilupakan selepas Homebois berjaya meraih kejuaraan pertama di MPL MY sekaligus melayakkan diri ke kejohanan dunia M5.


“Saya tidaklah bersara terus namun saya mahu kurangkan kerja saya kerana musim ini memang jika tanya isteri saya dedikasikan hidup saya musim ini kepada pasukan Mobile Legends Bang-Bang (MLBB) saya,”

“Jadi musim hadapan saya hanya akan libatkan diri sebanyak 20% sahaja untuk pasukan MLBB ini selebihnya adalah untuk diri saya dan anak-anak saya,”

Berbeza dengan musim terdahulu, rata-rata pemain Homebois tidak berpeluang menerima anugerah individu dan menurut Daddyhood sendiri musim ini mereka lebih fokuskan kepada aspek kejuaraan dan bukan individu.

“Untuk musim ke-12 kita tidak fokuskan individu, kita hebahkan gitu-gitu sahaja kerana penyokong Homebois itu mereka tidak mahu pencapaian individu tetapi lebih mahukan kejuaraan,”

Selepas tiga tahun menyertai MPL MY, Homebois akhirnya berjaya memecah kebuntuan mereka dan menurut Daddyhood kesemua pemain dan barisan jurulatih hari ini merupakan MVP yang sebenar buat pasukan mereka.

“Jika tanya saya, saya tidak akan pilih salah seorang pemain namun saya boleh katakan semua pemain dan barisan jurulatih yang bertugas di pentas adalah MVP yang sebenar kerana berjaya membawakan kejuaraan.”

Homebois yang menjuarai MPL MY musim ke-12 secara terus melayakkan diri ke M5 manakala Team SMG bakal mengharungi saingan Wild Card yang dijadualkan berlangsung pada bulan November di Malaysia.