Ceburi sukan lumba motor pula, apa saja yang JDT tak boleh buat?
Jenama Johor Darul Ta’zim (JDT) kini meluaskan lagi kuasanya dalam bidang sukan selepas mengumumkan ia akan menceburi sukan perlumbaan motosikal bersama jaguh negara, Hafizh Syahrin Abdullah mulai tahun depan.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, pasukan yang diberi nama JDT Racing Team akan bermula di pertandingan Asia Road Racing Championship dengan hasrat untuk bersaing dalam pertandingan Superbike World Championship.
Ini bukanlah sesuatu yang baru buat JDT kerana ia juga turut mempunyai pasukan sendiri dalam sukan futsal, polo, tinju dan hoki ais.
Selain itu, JDT juga sudah mengembangkan lagi sayap mereka dalam bidang e-sukan, dengan atlet eFootball pasukan itu, Mohd Norhaikal pernah menduduki ranking pertama di dunia.
Harus diakui, apa sahaja yang JDT ceburi pastinya dilakukan dengan begitu bersungguh-sungguh dan mempunyai sasaran yang tinggi, justeru ini dilihat mampu menaikkan lagi tahap Malaysia dalam sukan perlumbaan motosikal.
Peningkatan yang ditunjukkan telah berlaku dalam bola sepak, futsal, tinju dan lain-lain lagi, jadi peminat sukan perlumbaan motosikal di negara ini boleh menjangkakan sesuatu yang positif hasil dari inisiatif ini.
Untuk Hafizh sendiri, ini pastinya mampu memberi satu lonjakan dalam kariernya dan mungkin dapat mengembalikan zaman kegemilangannya ketika beraksi di Kejohanan Dunia MotoGP satu ketika dahulu.
Seperti sasaran yang diletakkan oleh JDT, tidak lama lagi kita pastinya dapat menyaksikan Hafizh mewakili Malaysia di Superbike World Championship.