Saya harus buat terbaik di sini untuk terpilih ke Piala Asia 2023 – Mukhairi Ajmal

169

Pemain tengah kebangsaan, Mukhairi Ajmal mahu menjadikan kejohanan Pestabola Merdeka 2023 sebagai platform untuk menunjukkan beliau layak berada dalam skuad Piala Asia 2023.

Katanya, seperti pemain-pemain lain, semua mahu berada dalam skuad Piala Asia 2023 namun beliau harus menunjukkan kemampuannya dalam setiap perlawanan terlebih dahulu.


“Semuanya (skuad Piala Asia 2023) terpulang kepada jurulatih, dan saya akan beri yang terbaik untuk diri saya serta pasukan sekiranya diberi peluang untuk ke kejohanan itu.

Tetapi saya harus buat yang terbaik dahulu di sini untuk tunjukkan bahawa saya layak ke Piala Asia 2023,”

katanya.

Beliau berkata, sasarannya pada Pestabola Merdeka 2023 adalah untuk menjadi juara.

Dalam pada itu, Mukhairi menjelaskan bahawa beliau menjaga pemakanan serta tidurnya bagi memastikan dirinya kekal cergas walaupun bermain banyak perlawanan pada musim ini, bersama Selangor, skuad senior kebangsaan dan juga skuad B-23 negara.

“Saya rasa bangga kerana kedua-dua pasukan senior dan B-23 layak ke Piala Asia, dan Alhamdulillah rezeki saya bermain dalam dua skuad ini.

Dari segi pemakanan dan tidur haruslah dijaga kerana ia membantu saya untuk kekalkan tahap kecergasan dan mental.”

Mukhairi berkata, setakat ini persiapan pasukan berada dalam keadaan yang baik dan semua pemain menyesuaikan diri dengan baik.